BNM batal kebenaran, minta 1MDB bawa balik US1.83 bilion ke Malaysia

Najib Aroff
Oktober 9, 2015 10:25 MYT
BNM berkata penarikan kebenaran itu dibuat berdasarkan Akta Kawalan Tukaran (ECA) 1953. - Gambar Fail
Bank Negara Malaysia (BNM) menarik kembali tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi pelaburannya di luar negara bernilai AS$1.83 bilion.
Dalam satu kenyataan BNM berkata penarikan kebenaran itu dibuat berdasarkan Akta Kawalan Tukaran (ECA) 1953.
BNM menambah ia turut mengeluarkan arahan kepada 1MDB untuk memindahkan semula dana tersebut kembali ke Malaysia dan meminta 1MDB dan mengemukakan kepada BNM perancangannya berkaitan perkara itu.
Menerusi siasatannya BNM berkata 1MDB memperoleh kebenaran pelaburan dengan memberikan maklumat yang tidak tepat atau tidak lengkap dalam permohonan kepada Bank Negara.
Justeru BNM berkata ia telah mengesyorkan tindakan diambil oleh Pejabat Peguam Negara terhadap 1MDB ekoran pelanggaran akta berkenaan.
Menurut BNM, berdasarkan Perlembangaan Persekutuan, Pejabat Peguam Negara merupakan satu satunya entiti yang berkuasa memulakan tindakan undang-undang jenayah terhadap 1MDB.
"Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci. BNM mengkehendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA," menurut kenyataan itu.
BNM menambah ia sedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Akta Kawalan Tukaran #Bank Negara Malaysia #BNM #ECA