BNM akan teruskan usul tindakan pentadbiran terhadap 1MDB

Najib Aroff, Nurulhana Ismail
Mac 23, 2016 19:41 MYT
ZETI: Kami meminta mereka (1MDB) menghantar bukti dokumen bagi membuktikan maklum balas mereka. Setakat ini kami tidak menerima dokumen ini. -Gambar fail
Bank Negara Malaysia akan mengenakan tindakan pentadbiran ke atas syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memaklumkan, ia susulan kegagalan 1MDB menyediakan dokumen untuk membuktikan bahawa dana US$1.83 bilion yang diarahkan untuk dibawa pulang ke Malaysia, sudah digunakan untuk penstrukturan dan bayar balik hutang syarikat pelaburan milik kerajaan tersebut.
Zeti berkata bank pusat itu sudah meminta 1MDB mengemukakan dokumen tersebut sejak Oktober lalu.
Bagaimanapun, syarikat milik Kementerian Kewangan itu masih gagal mematuhi perkara berkenaan sehingga hari ini.
"Kami meminta mereka (1MDB) menghantar bukti dokumen, bagi membuktikan maklum balas mereka.
"Setakat ini kami tidak menerima dokumen ini. Jadi dalam tempoh masa tertentu yang telah dinyatakan kepada mereka, dan seperti dinilai, mereka tidak mematuhi sepenuhnya terhadap hala tuju bank pusat.
"Jadi kami meneruskan pelaksanaan penguatkuasaan pentadbiran bersesuaian yang dibenarkan di bawah undang-undang berkaitan bank pusat," kata Zeti pada pengumuman Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia bagi tahun 2015, dekat sini hari ini.
Tambah Zeti, tindakan pentadbiran itu akan diusulkan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum beliau meninggalkan bank pusat kurang 38 hari lagi.
Tindakan pentadbiran itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya.
Zeti berkata antara kemungkinan tindakan di bawah penguatkuasaan pengurusan termasuk penalti atau kompaun.
Sebelum ini, siasatan Bank Negara berhubung 1MDB ditolak sebanyak dua kali oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
#1MDB #Bank Negara Malaysia #BNM #Peguam Negara #Pejabat Peguam Negara #Zeti