BNM akan lancar rangka kerja operasi takaful yang disemak semula
Bernama
Mac 24, 2018 17:14 MYT
Mac 24, 2018 17:14 MYT
Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kerja asas bagi mengukuhkan industri takaful dalam mewujudkan persekitaran yang memupuk inovasi, yang dibantu oleh rangka kerja operasi takaful yang disemak semula.
Gabenor Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, rangka kerja yang disemak itu akan diterbitkan untuk perundingan sebelum pertengahan tahun ini.
"Rangka kerja tersebut akan membawa lebih kejelasan mengenai pelbagai penggunaan piawaian syariah dalam model dan struktur takaful.
"Kami juga akan memperkukuhkan tadbir urus pengendali takaful, termasuk bagaimana dana takaful diuruskan bagi melindungi kepentingan peserta takaful," katanya dalam ucapannya di Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Takaful 2018 pada Jumaat.
Muhammad berkata, draf pendedahan akan diterbitkan sebelum pertengahan tahun ini, dan industri serta orang ramai dialu-alukan untuk memberi maklum balas.
Walaupun mengakui bahawa sasaran penembusan takaful keluarga sebanyak 25 peratus menjelang 2020 adalah terlalu tinggi, beliau berkata, ia boleh dicapai.
"Bagaimanapun, pada kadar ia berkembang sekarang, kita hanya akan mencapai 16 peratus pada 2020, daripada 14.8 peratus hari ini.
"Ia mungkin lebih rendah jika kita membetulkan dasar pengiraan dua kali. Adalah jelas, data membuktikan bahawa takaful masih jauh di bawah potensi penuhnya, jauh daripada ia sepatutnya berada," katanya.
Muhammad juga berkata pengendali takaful individu tidak mencapai saiz yang optimum dan terlalu kecil berbanding rakan konvensional mereka.
"Tanpa skala yang mencukupi, pengendali takaful terhalang dalam membuat penembusan bermakna berbanding pesaing mereka yang lebih besar," jelasnya.
Ini, katanya, bukan sekadar persaingan dalam industri takaful dan insurans, tetapi juga teknologi.
"Teknologi membentuk semula landskap kewangan dan mengurangkan halangan untuk masuk daripada industri lain. Pengendali takaful mesti meniingkatkan prestasi atau menghadapi risiko dipinggirkan, atau lebih teruk, menjadi tidak relevan," katanya.
Muhammad berkata, banyak kerja yang perlu dilakukan dalam mencapai kumpulan B40 (bawah 40 peratus daripada isi rumah yang berpendapatan RM3,900 atau kurang).
"Pada akhir 2016, penembusan insurans dan takaful dalam segmen umur bekerja B40 berada pada 30.3 peratus, berbanding keseluruhan kadar penembusan sebanyak 46.8 peratus," katanya.
Menurutnya, pelancaran produk yang berpatutan, mudah diakses dan mudah difahami di bawah Perlindungan Tenang, iaitu skim insurans dan takaful mampu milik yang dilancarkan pada November tahun lepas, adalah permulaan untuk memenuhi keperluan golongan yang kurang mendapat perhatian.
"Malangnya, setakat ini, hanya tiga pengendali takaful telah membangunkan produk di bawah inisiatif ini," katanya.
Berikutan kepentingan terangkuman kewangan untuk negara dan takaful menjadi produk dengan pseudo-sosial, kita mengharapkan lebih banyak daripada pengendali takaful," katanya.
Satu lagi bidang yang terbuka untuk inovasi, kata Muhammad, adalah integrasi takaful dengan elemen wakaf, sedekah dan zakat untuk membiayai penyediaan perlindungan takaful kepada golongan miskin.
Menurutnya, produk wakaf mikrotakaful untuk membantu mereka yang berada dalam segmen berpendapatan rendah telah dilancarkan beberapa minggu lalu.
Beliau berharap dapat melihat lebih banyak produk seperti itu pada masa akan datang.
Terdapat potensi yang besar untuk takaful menjadi peneraju dalam menyelesaikan cabaran pembangunan yang dihadapi dunia, termasuk kemiskinan dan kemusnahan alam sekitar, tambahnya.
Satu lagi isu yang industri tersebut ketinggalan adalah dari segi penghijrahan ke e-pembayaran.
Beliau berkata, pada 2017, pengendali insurans dan takaful mengeluarkan 1.5 juta cek sementara 5.7 juta dikumpul daripada pelanggan. Ini adalah jumlah yang besar.
Menurutnya, cek adalah sangat mahal, tidak cekap dan ketinggalan zaman.
Sekiranya industri tidak bertindak balas terhadap cabaran ini, menurut Muhammad, maka orang lain akan melakukannya.
"Sepanjang tahun lepas, Bank telah membenarkan agregator produk kewangan untuk menawarkan produk-produk insurans dan takaful di bawah ruang ujian untuk model perniagaan baharu tanpa dilindungi peraturan sedia ada.
"Platform ini membolehkan pengguna membanding dan menilai penawaran produk dengan mudah, dengan itu meningkatkan penglihatan produk insurans dan takaful serta menyokong objektif kami untuk mendigitalisasi pengagihan insurans dan takaful," katanya.
BNM, kata Muhammad, hampir memuktamadkan rangka kerja pengawalseliaan yang akan membolehkan agregator produk dalam talian beroperasi dengan akses yang meluas ke pasaran insurans dan takaful menjelang akhir tahun ini.
Ini adalah inisiatif yang akan membuka jalan untuk pasaran insurans dan takaful yang lebih kompetitif ke hadapan, akhirnya meningkatkan akses dan pilihan untuk pengguna, katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia
#cek
#e-pembayaran
#inovasi
#keluarga
#muhammad ibrahim
#operasi
#rangka kerja
#semak semula
#syariah
#takaful