BMW tolak langkah jangka pendek kerajaan Jerman

Bernama
September 23, 2024 07:25 MYT
Antara langkah yang disokong oleh BMW adalah penyediaan penuh untuk kemudahan pengecasan di seluruh negara, baik di kawasan awam mahupun di rumah, serta tenaga elektrik yang murah. - Gambar hiasan/REUTERS
MUNICH: BMW telah menolak langkah jangka pendek yang dibiayai oleh kerajaan untuk meningkatkan sektor automotif Jerman yang mengalami kemerosotan, sebaliknya menyeru kepada langkah jangka panjang untuk meningkatkan permintaan kenderaan elektrik oleh pengguna, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Sektor automotif Jerman tidak memerlukan penyelesaian jangka pendek yang akan mengganggu pasaran," kata pengeluar kereta yang berpusat di Munich itu pada Isnin menjelang sidang kemuncak mengenai sektor itu yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama.
Antara langkah yang disokong oleh BMW adalah penyediaan penuh untuk kemudahan pengecasan di seluruh negara, baik di kawasan awam mahupun di rumah, serta tenaga elektrik yang murah.
"Jika kos untuk satu kilometer perjalanan menggunakan elektrik lebih tinggi daripada menggunakan petrol atau diesel, maka insentif utama untuk kenderaan elektrik tidak dapat dirasai oleh banyak pelanggan," katanya.
Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck dan pihak sektor automotif akan membincangkan krisis yang dihadapi oleh sektor itu dalam satu persidangan video pada petang Isnin.
Eksekutif daripada Volkswagen, BMW, dan Mercedes akan disertai oleh wakil dari Persatuan Automotif Jerman (VDA) dan kesatuan sekerja yang berpengaruh, IG Metall.
Terdapat gesaan untuk mengambil langkah bagi meningkatkan permintaan terhadap kereta elektrik, selaras dengan dasar kerajaan untuk menghentikan penggunaan enjin pembakaran dalam, tetapi tidak jelas sama ada keputusan khusus akan dibuat dalam sidang kemuncak itu.
-- BERNAMA
#Jerman #BMW #sektor automotif Jerman #kemerosotan
;