KUALA LUMPUR: BMI, firma Fitch Solutions, menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

BMI menjelaskan menerusi mesyuarat ketiga berturut-turut pada 2 November lepas, bank pusat itu memutuskan OPR tidak berubah, yang sejajar dengan konsensus dan jangkaan.

"Kami terus menjangkakan BNM mengekalkan OPR semasa mesyuarat seterusnya pada 24 Jan, 2024 dan sehingga akhir 2024," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

BMI mendapati inflasi domestik negara berada pada trajektori menurun yang jelas dan menjangkakan inflasi akan berkurangan dalam beberapa bulan akan datang untuk mencecah 1.8 peratus menjelang akhir 2023.

"Bank pusat masih bimbang terutama mengenai kestabilan harga dan menyedari potensi risiko mengikut pandangannya untuk inflasi keseluruhan reda pada 2024.

"Walaupun BNM menjangkakan inflasi kekal sederhana pada 2024, bank pusat itu mendapati terdapat potensi risiko pada pandangan ini apabila kerajaan mempertimbangkan untuk menyemak semula subsidi dan kawalan harga tahun depan," menurut BMI.

BMI memaklumkan walaupun inflasi teras kekal melebihi purata lima tahun pada 1.6 peratus, namun inflasi terus reda dengan ketara daripada kadar tinggi 4.2 peratus tahun ke tahun pada November 2022 kepada 2.5 peratus pada September dan berada di landasan untuk menepati purata inflasi teras dan keseluruhan BNM di antara 2.8 peratus dengan 3.8 peratus tahun ini.

"Apabila kami menjangkakan pertumbuhan meningkat pada separuh kedua 2023, unjuran lazim kami bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia sebanyak 4.0 peratus pada 2023 dan 4.4 peratus pada 2024.

"Angka ini berada pada bahagian terendah dalam sasaran BNM 4.0 hingga 5.0 peratus, serta lebih rendah daripada purata 4.9 peratus prapandemik (2015-2019)," tambahnya.

Mengenai ringgit, BMI menjangkakan bank pusat tidak akan mahu melonggarkan dasar monetari kerana tindakan itu mungkin berisiko menjejaskan kestabilan ringgit dan memberikan potensi tekanan selanjutnya ke atas mata wang.

"Ringgit telah mengalami tekanan yang ketara, menyusut sebanyak 6.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat tahun ini.

"Ini kenal pasti oleh BNM, yang menyatakan dalam minit mesyuarat dasar monetarinya bahawa jangkaan untuk persekitaran kadar faedah lebih tinggi dan lebih panjang di Amerika Syarikat telah mendorong kekuatan dolar yang baharu," tambahnya.

-- BERNAMA