Blok serantau ASEAN perlu ambil peluang daripada kepimpinan Dr Mahathir

Bernama
Oktober 7, 2018 05:01 MYT
MOEHAMAD IZAT: Dr Mahathir orang yang paling berpengaruh di peringkat dunia, dan kini sebagai Perdana Menteri ketujuh negara, kami mahu memanfaatkan sepenuhnya. - fotoBERNAMA / Fail
Blok serantau ASEAN perlu mengambil peluang daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin dunia yang mempunyai kemahiran keusahawanan yang cemerlang, untuk mempercepatkan agenda Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, kata Presiden Persatuan Pedagang ASEAN (Perda-ASEAN) Datuk Moehamad Izat Emir.
Beliau berkata berdasarkan persamaan dalam kalangan negara anggota, ia seharusnya menjadi lebih mudah untuk mereka bekerjasama; dan adanya Dr Mahathir akan memberikan panduan kepada blok itu.
"Dengan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, kami mahu memastikan bahawa beliau turut menerajui ASEAN. Beliau merupakan orang yang paling berpengaruh di peringkat dunia, dan kini sebagai Perdana Menteri ketujuh negara, kami mahu memanfaatkan sepenuhnya," katanya kepada Bernama.
Moehamad Izat berkata sebagai seorang yang mempunyai pengalaman menerajui negara selama 22 tahun selepas menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat (1981-2003), Dr Mahathir, 93, kembali menerajui kepimpinan negara.
"Dan kini beliau kembali, Dr Mahathir dapat menyesuaikan dengan landskap baharu ekonomi dunia, dengan pengenalan e-dagang, misalnya, yang digunakan untuk mempermudahkan perdagangan antara negara anggota ASEAN melalui platform digital.
"Di sini peranan Perda-ASEAN, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu proses integrasi dalam kalangan ASEAN. Kami adalah NGO perdagangan, diwakili oleh ahli-ahli dari pelbagai industri dan disiplin - profesional dari Malaysia, dan negara ASEAN yang lain," katanya.
Beliau berkata pemikir di Perda-ASEAN kini berusaha sejajar dengan Pelan Tindakan AEC yang bertujuan untuk mencapai, antaranya, ekonomi ASEAN yang amat bersepadu yang juga kompetitif, inovatif dan dinamik; mempunyai hubungan yang dipertingkatkan dan kerjasama sektor; dan bersepadu dengan ekonomi global.
Dengan jumlah penduduk seramai lebih 630 juta orang, ASEAN adalah pasaran ketiga paling ramai penduduk di dunia (selepas China dan India) dan ia merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih US$2.4 trilion.
Moehamad Izat, yang sebelum ini adalah Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), juga berkata Perda-ASEAN akan bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memanfaatkan potensi rangkaian yang belum diterokai untuk berurusan dengan blok perdagangan yang lain.
"Sejak penubuhan kami pada Mei tahun ini, Perda-ASEAN telah mengadakan mesyuarat meja bulatnya yang pertama antara (blok perdagangan Amerika Selatan) Mercosur dan ASEAN yang berakhir dengan hasil yang baik. Mereka akan menghantar misi perdagangan mereka ke sini pada bulan ini, dan kami (Perda-ASEAN) akan menjadi tuan rumah kepada misi perdagangan itu pada 22 Okt," katanya.
Beliau berkata misi perdagangan itu adalah peluang besar kepada usahawan ASEAN untuk meraih apa yang ditawarkan Dewan Perdagangan Mercosur-ASEAN dan mendapatkan panduan untuk menjalankan perniagaan.
Ahli penuh Mercosur ialah Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay, dengan Bolivia, Chile, Colombia, Equador, Guyana, Peru dan Suriname menjadi ahli bersekutu serta New Zealand dan Mexico sebagai negara pemerhati.
Bagi Malaysia, Moehamad Izat berharap dengan inisiatif dan langkah yang dilaksanakan, negara sekali lagi boleh menjadi Harimau Asia.
"Jika sebelum ini sebagai harimau, mungkin kini singa Asia. Saya harap Dr Mahathir dapat memulihkan negara ini dan semua anggota Kabinet di bawahnya mengikutinya supaya sama-sama, kita dapat menjadikan Malaysia hebat!" katanya.
-- BERNAMA
#AEC #ASEAN #digital #ekonomi #harimau asia #kemahiran #keusahawanan #Mahathir Mohamad #Moehamad Izat Emir #negara anggota #Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN AEC 2025 #Perda-ASEAN #perdagangan #persamaan
;