BKM Fasa 2: 8.6 juta bakal terima secara berperingkat mulai hari ini

Harits Asyraf Hasnan
Jun 27, 2022 11:00 MYT
BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sejumlah 8.6 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bakal menerima bantuan secara berperingkat mulai hari ini dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8.0 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setiap isi rumah bakal menerima sehigga RM2,600 sekeluarga pada tahun ini.
Ia termasuk tambahan RM630 juta melalui BKM Fasa 2 seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.
"BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
"Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin).
"Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 27 Jun 2022 juga melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my," memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).
Sebagai perbandingan, katanya kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480).
"Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.
"Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.
"Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM," katanya.
Justeru katanya, lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.
#Bantuan Keluarga Malaysia #BKM #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #bantuan tunai
;