Bitsmedia raih dana AS$20 juta perkaya kandungan berkaitan Islam, pupuk pembelajaran berterusan
Astro Awani
Disember 7, 2023 12:15 MYT
Disember 7, 2023 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangun aplikasi gaya hidup Muslim popular Bitsmedia berjaya meraih AS$20 juta menerusi pusingan pembiayaan Siri A.
Pusingan pembiayaan ini menyaksikan penyertaan firma modal teroka tertumpu di Asia, Gobi Partners, selain turut menerima sokongan berterusan daripada pelabur sedia ada iaitu CMIA Capital Partners, dan Bintang Capital Partners.
Dana yang baru diperoleh itu akan dikhususkan untuk memajukan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI); memperkayakan tawaran kandungan dalam platform penstriman Bitsmedia iaitu Qalbox; membangunkan ciri pembelajaran berterusan; dan menambah baik pengalaman berkaitan Al-Quran dalam Muslim Pro.
Menurut Pengarah Urusan Bitsmedia, Nafees Khundker, memupuk pertumbuhan Bitsmedia dan jejak global sambil memenuhi keperluan masyarakat Islam global, kekal sebagai visi utama pihaknya.
“Pelaburan ini adalah bukti komitmen kami untuk mengetepikan batasan inovasi dan meluaskan jangkauan kami dengan memasuki pasaran antarabangsa utama seperti AS, UK, Indonesia dan Malaysia, serta wilayah baharu dalam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Penyertaan dana terbaharu dengan kerjasama pelabur terbaik industri, meletakkan kami di landasan yang betul dalam mencapai visi kami untuk menjadi 'Hab Digital untuk Semua Berkaitan Muslim',” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, visi pihaknya bagi Muslim Pro adalah untuk berkembang menjadi platform komprehensif yang memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam.
“Ia menandakan permulaan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman Muslim dan memacu hubungan yang lebih mendalam dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan sama.
Untuk rekod, Bitsmedia diiktiraf menerusi produk utamanya, aplikasi Muslim Pro, yang telah mengumpulkan lebih 150 juta muat turun di seluruh dunia.