Biofutures International beli firma Biofuel Malaysia

Bernama
Mac 10, 2013 08:39 MYT
Biofutures International Plc telah berjaya mengumpul 32.5 juta pound sterling (1 Pound = RM4.68) melalui tawaran saham sempena cadangannya mengambil alih Platinum NanoChem Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar biofuel.
Ini adalah untuk menyediakan dana yang mencukupi bagi kumpulan yang diperbesarkan itu melaksanakan strategi peluasannya dan bagi tujuan modal kerja.
"Cadangan pengambilalihan Platinum Nanochem dan kejayaan mengumpul dana ini memberikan kami peluang besar untuk meningkatkan nilai pemegang saham," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biofutures, Joe Wong, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Biofutures International akan diberikan nama baharu, Graphene NanoChem Plc, selepas selesainya urusan pengambilalihan dan penawaran saham itu.
Platinum NanoChem ialah sebuah syarikat nanoteknologi global yang model perniagaan penjana pendapatannya yang kukuh itu merangkumi reka bentuk, perumusan, pembuatan dan pemasaran satu rangkaian kimia dan bahan khusus yang disokong oleh IP (harta intelek), termasuk grafin dari sisa bahan mentah.
Graphene NanoChem akan diterajui oleh Datuk Jespal Deol, CEO cadangan yang akan disokong oleh satu pasukan pengurusan yang kuat dan berpengalaman serta kakitangan yang mempunyai kepakaran teknikal dan perniagaan, serta rekod pencapaian dalam sektor-sektor industri berkaitan.
Jespal, kini ialah CEO Platinum NanoChem.
"Dengan pengalaman dan kepakaran terbukti pasukan pengurusan yang dicadangkan dan dana yang dikumpul untuk menyokong strategi (yang telah dikenal pasti), kami menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan," tegas beliau.
Biofutures International, yang ditubuhkan di England pada Februari 2006, ialah syarikat induk Zurex Corp Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia.
Zurex memiliki dan mengendalikan kilang penapisan minyak sawit berkapasiti 200,000 tan metrik setahun di Lahad Datu, Sabah, dan memiliki lesen untuk mengeluarkan biodiesel daripada minyak sawit.
#biofuel #Biofutures International Plc #Joe Wong #Platinum NanoChem Sdn Bhd
;