'Biar tak cukup, jangan tak habis...' - Peniaga nasi beriyani Banting tekad kekalkan harga mampu beli

Hasimi Muhamad
Jun 21, 2022 14:08 MYT
Md Aris mengusahakan perniagaan nasi beriyani di Banting sejak enam tahun lalu - Foto Instagram
BANTING: Di sebalik ketidaktentuan harga bekalan ayam, seorang peniaga Nasi Beriyani Bintara di sini memilih untuk terus mengekalkan harga jualannya pada RM10 sejak beroperasi enam tahun lalu.
Menurut Md Aris Manap, 65, apa yang penting baginya adalah untuk memastikan pelanggan terus boleh menikmati makanan yang popular dari Johor itu dengan harga 'mampu beli'.
Jelasnya, setiap hari jualannya sebanyak 90 kilogram (kg) melibatkan tiga menu iaitu ayam, daging, dan kambing habis terjual, dan perniagaannya masih mendapat keuntungan sekitar 8.6 peratus berbanding 15 peratus sebelum ini.
"Memang dalam keadaan sekarang ini kita tidak boleh lari daripada segala kenaikan... harga apa jua bahan yang membabitkan perniagaan ini sehinggakan harga plastik pun naik.
"Walau bagaimanapun kita masih mengekalkan harga yang lama. Sebenarnya kita masih lagi memikirkan kepada pelanggan takut nanti kalau kita nak cuba naikkan harga, pelanggan akan terjejas dan jualan kita menurun.
"Jadi kalau hari ini kita boleh jual ayam 100 ekor, kalau kita naikkan harga dan jual 50 ekor, (kemungkinan) rugi juga kerana nak bayar gaji pekerja," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai keistimewaan nasi beriyaninya, Md Aris yang menggaji lapan pekerja berkata, dia mempelajari resepi asal dari Johor, selain tidak kedekut bahan dalam menghasilkan masakan tersebut.
Ujarnya, pada bulan Ramadan jualannya mampu mencecah sehingga lebih 70kg daging dan 100 ekor ayam sehari.
"Prinsip saya biar tak cukup, janji tak habis... Nak masak ini prinsip saya yang penting jangan kedekut masa dan bahan.
"Kalau kata untuk 10kg daging itu dan rempah beriyani itu dua kg, tetap juga dua kg. Jangan kita nak kurangkan. Sebenarnya nasi beriyani ini makanan untuk kenduri kahwin, jadi masa untuk masak rempah sahaja lebih kurang dua setengah jam," katanya lagi.
Sementara itu, anak Md Aris, Ahmad Azimuddin, 29, berkata dia berhasrat untuk mengembangkan dan mewarisi perniagaan yang diusahakan bapanya itu.
Ujar graduan jurusan Pengurusan Hotel dan Katering itu, dia mula berjinak dalam perniagaan sejak di bangku sekolah ketika membantu bapanya mengusahakan perniagaan katering.
"Untuk di kawasan Banting ini nasi beriyani belum betul-betul orang kenal lagi sebab biasa dari Johor.
"Bila ada orang Johor berhijrah di sini dan dia bawa (pengaruh nasi beriyani) sikit-sikit, lama-kelamaan orang Banting sudah boleh terima.
"Apabila sudah diterima, kita boleh nampak orang lain di Selangor dan Lembah Klang kalau nak makan nasi beriyani dia datang sini. Kita pun tak sangka...," kata Ahmad Azimuddin.
Selain nasi beriyani ayam yang dijual pada harga RM10, menu lain ialah nasi beriyani daging (RM10) dan kambing (RM12).
#Nasi beriyani murah Banting #Keenakan nasi beriyani #Harga ayam mahal
;