Betamek raih kontrak RM436.5 juta untuk model kereta baharu Perodua

Bernama
Julai 24, 2023 05:20 MYT
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Betamek Group dalam tempoh enam tahun, bermula dari tahun kewangan 2025. - Foto Betamek
KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik, Betamek Bhd meraih kontrak bernilai RM436.5 juta untuk membekalkan pelbagai komponen elektronik untuk model kereta baharu Perodua. meraih kontrak bernilai RM436.5 juta untuk membekalkan pelbagai komponen elektronik untuk model kereta baharu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).
Anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd pada Isnin menerima kontrak daripada Perodua untuk membekalkan komponen elektronik mulai suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 selama enam tahun.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Betamek Group dalam tempoh enam tahun, bermula dari tahun kewangan 2025.
Pengarah Urusan Mirzan Mahathir berkata permintaan untuk produk audio visual (AV) kenderaan dan aksesori kenderaan dijangka berkembang sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk kenderaan pelanggan utamanya.
"Walaupun insentif pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang telah tamat pada bulan lepas, kami yakin permintaan untuk produk AV kenderaan dan aksesori kenderaan kami akan terus berkembang sejajar dengan permintaan kukuh untuk kenderaan pelanggan utama kami," katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Perodua telah mengumumkan bahawa ia dijangka memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan pendaftaran 314,000 pada tahun ini berikutan syarikat kereta kompak itu akan meningkatkan lagi kecekapan operasinya.
Setakat 30 Jun 2023, Perodua telah mengeluarkan sebanyak 153,813 kenderaan, naik 17 peratus daripada 131,641 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2022.
Pencapaian pengeluaran ini telah membawa kepada peningkatan pendaftaran sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 kenderaan pada separuh pertama 2023 berbanding 127,343 unit yang telah dijual dalam tempoh sama pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#Perodua #Betamek Bhd #produk audio visual #kereta kompak
;