Bernas beli padi di Kelantan walaupun kualiti rendah
Najib Aroff
Disember 15, 2017 13:45 MYT
Disember 15, 2017 13:45 MYT
Padiberas Nasional Bhd (Bernas) komited untuk tetap membeli hasil padi di Kelantan tanpa mengira kualiti padi susulan perubahan cuaca termasuk kejadian banjir di negeri Pantai Timur, kata firma itu dalam satu kenyataan.
“Bernas selaku pembeli akhir, kami komited terhadap tanggungjawab kami. Disebabkan perubahan cuaca dan banjir di Pantai Timur, Bernas kini merupakan satu-satunya kilang pemprosesan beras di Kelantan, di mana industri itu merupakan aktiviti utama negeri berkenaan.
“Bernas masih membeli padi yang terjejas akibat banjir walaupun keadaan padi tersebut telah jatuh mutu, tiada nilai komersial dan perlu diasingkan. Malah, ada padi yang dibeli Bernas, setelah diproses menjadi beras masih tidak sesuai di makan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menjawab dakwaan Pertubuhan Peladang Kawasan Kelantan bahawa Bernas memotong sehingga 50 peratus hasil padi.
Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pihak kementerian akan menyiasat dakwaan tersebut namun menafikan potongan itu melibatkan keseluruhan petani.
“Petani yang terjejas akibat banjir serta mendapat potongan pemutuan melebihi 50 peratus di Kelantan adalah seramai 100 orang sahaja dengan berat sebanyak 65.1 tan metric bersamaa 0.11 peratus,
“Manakala di Terengganu, petani yang terjejas serta mendapat potongan pemutuan melebihi 50 peratus adalah seramai 23 orang iaitu bersamaan 11 tan metrik bersamaan 0.08 peratus sahaja, menurut kenyataan itu.
Bernas mematuhi proses penetapan harga dan pemutuan padi yang ditetapkan oleh pihak Kementerian.
“Proses pemutuan disemak dan penyesuaian dilakukan pada asas 6 bulan sekali untuk mengekalkan dan memenuhi kawalan kualiti ketat,” menurut Bernas sambil menafikan tuduhan bahawa potongan 50 peratus hasil padi melibatkan 40 ribu petani.
Menurut Bernas terdapat hanya 9,397 petani berdaftar di Kelantan dan 5,254 di Terangganu.
Sehingga 13 Disember 2017, status tuaian padi di Kelantan mencapai 70 peratus iaitu bersamaan 58,351 tan metric, manakala di Terengganu, status tuaian mencapai 48 peratus, bersamaan 12,639 tan metrik.
#banjir
#Banjir pantai timur
#BERNAS
#harga padi
#Kelantan
#MOA
#Padberas Nasional Bhd
#Padi
#Pantai Timur
#pertubuhan peladang kawasan kelantan
#pesawah
#Tajuddin Abdul Rahman
#terengganu