Berlangsung dalam dua siri, SIBS 2024 sasar nilai transaksi sebanyak RM7 bilion

Nabilah Khaleeda
Mei 31, 2024 18:30 MYT
SIBS 2024 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Oktober 2024.
Kuala Lumpur: Selangor International Business Summit (SIBS) 2024 menyasarkan potensi nilai transaksi sebanyak RM7 bilion pada tahun ini, meningkat daripada RM6.12 bilion pada tahun sebelumnya.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Selangor, Ng Sze Han berkata SIBS 2024 akan menjadi platform lebih dinamik dan komprehensif dengan penganjuran yang dibahagikan kepada dua siri pada tahun ini.
SIBS 2024: Jaringan ke pasaran serantau
Majlis yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ini, akan diadakan pada 25 hingga 27 Julai dan 16 hingga 19 Oktober 2024.
"Siri pertama akan menampilkan Selangor ASEAN Business Conference 2024 (SABC) dan Selangor Investment & Industrial Park Expo 2024 (SPARK).
"Manakala siri kedua menampilkan Selangor International Expo (Food & Beverage) 2024 (SIE F&B), Selangor Life Sciences Convention 2024 (SLC), dan Selangor Smart City and Digital Economy Convention 2024 (SDEC)," jelasnya.
Kelainan penganjuran SIBS pada kali ini bertujuan memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap industri tertentu dan menarik lebih ramai pelabur.
"Tahun ini, lebih banyak pempamer dari dalam dan luar negara akan menyertai SIBS dengan lebih 500 reruai untuk SIE F&B sementara lebih 400 reruai untuk SPARK, berbanding 300 dan 258 pada tahun lalu.
Tambah Sze Han, majlis ini juga mendapat sokongan kuat daripada kerajaan Persekutuan dengan penglibatan kementerian-kementerian utama seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),
"Dengan sasaran 65,000 pelawat perdagangan dari seluruh dunia, terutamanya dari negara-negara Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Selatan, ia dijangka menjadi medan penting untuk perdagangan dan pelaburan serantau,” ujar beliau dalam program Niaga AWANI pada Khamis.
Tahun ini juga, SIBS akan menyaksikan penyertaan kali pertama Timor-Leste sebagai rakan ASEAN di SABC dan SPARK, menampilkan imej solidariti negara-negara ASEAN sebagai blok perdagangan utama dunia.
Selain itu, persidangan seperti Malaysia China Entrepreneurs Conference (MCEC) juga akan diadakan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
"Antara lain, program khas seperti Industri Kreatif ASEAN (IKA) yang memperkenalkan seni dan budaya negara-negara Asia Tenggara, sesi business-to-business (B2B), termasuk program Supermarket Buyers untuk pempamer dan pengunjung.
Sze Han berharap dengan segala persiapan dan inovasi yang dirancang, SIBS edisi ke-8 ini bakal menjadi acara perdagangan dan pelaburan yang paling dinantikan, membuktikan keupayaan Selangor sebagai gerbang perniagaan global yang terkemuka di rantau Asia Tenggara.
#SIBS 2024 #Invest Selangor #pelaburan #ASEAN
;