Berjaya Langkawi Resort perkenal pakej penerbangan 'carter' persendirian

Bernama
September 14, 2024 13:50 MYT
Pesawat ATR 72-500 yang mempunyai kapasiti maksimum 68 tempat duduk itu membawa 45 tetamu bagi penerbangan sulung tersebut. - Foto Bernama
LANGKAWI: Berjaya Langkawi Resort memperkenalkan penerbangan carter (sewa khas) persendirian sebagai sebahagian daripada pakej percutian pulaunya, untuk memudahkan pelanggan terbang terus dari Terminal SkyPark Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Pengurus Besar (kumpulan) Berjaya Hospitality Group Pravir Mishra berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan pelancongan sejajar dengan visi syarikat untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong dengan menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar.
Pakej 'Fly Me Away: Rainforest Escape' itu termasuklah penginapan selama tiga hari dua malam dengan penerbangan pergi balik.
Pakej tersebut menawarkan penginapan di resort berkenaan dengan penerbangan carter persendirian dikendalikan oleh Berjaya Air Sdn Bhd yang memakan masa perjalanan selama sejam.
"Dengan perjalanan yang lebih lebih selesa dan lancar tanpa gangguan, pengembara boleh menikmati sepenuhnya keindahan Langkawi dari saat mereka memulakan perjalanan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penerbangan sulung Berjaya Air ke Langkawi pada Jumaat.
Penerbangan sulung itu berlepas dari Terminal SkyPark Subang Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 4:05 petang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 5:05 petang.
Pesawat ATR 72-500 yang mempunyai kapasiti maksimum 68 tempat duduk itu membawa 45 tetamu bagi penerbangan sulung tersebut.
Pravir berkata penerbangan itu sudahpun mendapat permintaan kukuh dengan faktor muatan dijangka meningkat daripada 50 peratus pada permulaan ini kepada antara 80 dan 100 peratus menjelang November.
"Kami menerima banyak pertanyaan untuk tempahan pada masa hadapan. Jadi kami menjangkakan mulai November dan seterusnya, kami akan mencapai sasaran faktor muatan antara 80 dan 100 peratus," katanya.
Mengulas mengenai persediaan negara untuk menjadi pengerusi ASEAN tahun depan, Pravir berkata kumpulan itu bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Langkawi untuk menyediakan pakej menarik kepada perwakilan.
Beliau berkata ia diharap dapat meningkatkan lagi pelancongan dan meletakkan Langkawi sebagai destinasi utama untuk pengembara liburan dan perniagaan.
-- BERNAMA
#Berjaya Langkawi Resort #penerbangan carter #Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah #Terminal SkyPark Subang #pelancongan
;