Kuala Lumpur: Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah yakin bahawa sekarang merupakan masa yang kritikal untuk memulihkan ekonomi negara.

Beliau, antara lain, mencadangkan pelaksanaan moratorium, mengelakkan pengenalan cukai baharu, dan menangguhkan penguatkuasaan akta pekerja tahun depan.

"Pandangan kami, pertama adalah untuk memperkenalkan moratorium sekurang-kurangnya enam bulan. Perniagaan-perniagaan masih lagi tidak mampu untuk membayar semua pinjaman sekali gus.

BACA: Tiga tumpuan utama harungi kelembapan ekonomi global 2023 - Tengku Zafrul

"Kedua, kerajaan haruslah menggalakkan rakyat Malaysia untuk Buy Malaysian First. Ini bagi menggalakkan perbelanjaan domestik, supaya duit itu tidak mengalir keluar.

"Dan masing-masing tahu kita ada banyak pekerja asing, banyak duit Malaysia yang akan mengalir keluar." katanya ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI.

"Kerajaan juga patut perkenalkan banyak projek-projek di dalam negara supaya memanfaatkan syarikat tempatan. Dan kita mesti pastikan projek-projek ini tidak ada orang tengah dan tiada kenaikan harga sewenang-wenangnya." katanya lagi.

Pantau Kerajaan Baharu | Makmurkan ekonomi, kembalikan keyakinan pelabur pada negara
 

Abdul Malik juga menegaskan agar kerajaan tidak memperkenalkan sebarang akta atau cukai baharu.

Katanya, ini memandangkan pengusaha-pengusaha masih lagi bergelut untuk memulihkan kembali perniagaan.

Menurut beliau, masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun diperlukan.

Berkenaan penguatkuasaan Akta Kerja pula, Abdul Malik berharap ia dapat ditangguhkan sekurang-kurang satu tahun.

Menurutnya, Malaysia masih belum bersedia untuk melaksanakan waktu bekerja 48 jam seminggu dan cuti paterniti.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar ahli politik berhenti mempertikaikan keabsahan kerajaan sedia ada, sebaliknya, bekerjasama untuk menyelesaikan isu-isu yang menekan rakyat.