Beri kebebasan kepada Muller uruskan MAS

Bernama
Mei 17, 2015 16:09 MYT
Mueller sendiri, menerusi mesej pertamanya kepada kira-kira 20,000 kakitangan MAS, turut menyifatkan tahun ini sebagai lebih mencabar daripada jangkaan awal dengan pelaksanaan langkah pengurangan kos secara besar-besaran.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Malaysia Airlines (MAS), Christoph Mueller sewajarnya diberi kebebasan untuk mengendalikan syarikat penerbangan kebangsaan itu sebagai entiti komersial sepenuhnya, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw, hari ini.
Beliau yang juga antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat ketika ini, berkata AirAsia misalnya berjaya menjadi ikon dalam kalangan syarikat penerbangan tambang rendah kerana Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, diberi kebebasan menguruskan syarikat itu serta berdasarkan prinsip meritokrasi.
"Tony Fernandes bebas menguruskan AirAsia dan inilah punca kejayaan syarikat itu. Beliau mengendalikannya (syarikat) berasaskan meritokrasi.
"Jika Tony Fernandes boleh, mengapa tidak Mueller? Pada akhirnya, ia adalah mengenai pengurusan korporat," katanya kepada Bernama.
Sambil mengakui tugas berat digalas Mueller, Dr Tan sebaliknya yakin CEO kelahiran Jerman itu mampu melaksanakan tanggungjawab itu berikutan kejayaannya mengubah nasib Aer Lingus dan Sabena yang sebelum ini mengalami kerugian.
Mueller pada awalnya dilantik menerajui Malaysia Airlines Bhd baharu berkuat kuasa 1 Julai ini, namun tugasnya sebagai pengganti Ahmad Jauhari Yahya, dipercepatkan kepada 1 Mei lalu.
Proses peralihan kepemimpinan awal itu membolehkan Mueller menerajui keseluruhan usaha penstrukturan semula MAS dan menyediakan MAS baharu untuk memulakan operasinya pada 1 September depan.
Dr Tan turut menekankan perubahan drastik persekitaran sekarang turut menyaksikan kesemua syarikat penerbangan konvensional tidak lagi mampu kekal sedemikian.
Malah, syarikat yang gagal berubah atau menyesuaikan kepada tuntutan itu, tidak lagi dapat bertahan lama.
"Apa sahaja yang perlu dibuat, maka itulah yang perlu dibuat. Tiada gunanya untuk meneruskan operasi laluan yang hanya mengundang kerugian mencecah jutaan ringgit.
"Bagi mengatasi kerugian itu sudah pasti anda perlu menghentikan puncanya. Caranya adalah dengan mengenal pasti laluan-laluan berkenaan dan tamatkannya," katanya.
Mueller sendiri, menerusi mesej pertamanya kepada kira-kira 20,000 kakitangan MAS, turut menyifatkan tahun ini sebagai lebih mencabar daripada jangkaan awal dengan pelaksanaan langkah pengurangan kos secara besar-besaran.
Paras kos MAS adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding syarikat lain seumpamanya. Bukan itu sahaja, permintaan turut berkurangan bagi beberapa pasaran utama biarpun ditawarkan potongan harga tiket dan Mueller, demi masa depan MAS merancang agar syarikat itu dapat 'dikumpul, bersatu untuk bangkit dan berkembang semula.'
Mengulas lanjut, Dr Tan menganggap laluan tertentu kendalian MAS, terutamanya domestik, bukan atas tujuan komersial semata-mata tetapi lebih kepada 'penerbangan sosial.'
"Kita perlu asingkan penerbangan sosial itu daripada syarikat berkenaan," tegasnya.
Pelan 12 Perkara Penstrukturan Semula MAS yang diumumkan Khazanah Nasional Bhd sebelum ini, akan menyaksikan usaha rasionalisasi rangkaian syarikat penerbangan itu untuk lebih menumpukan serantau dengan jaringan global lebih kukuh menerusi pakatan One World.
MAS akan menamatkan laluan penerbangannya ke Frankfurt pada 29 Mei dan kalangan penganalisis sebelum ini turut menjangkakan langkah sama melibatkan laluan antabarangsa lain seperti Paris, Amsterdam, Istanbul, Dubai serta Kunming.
Bagi Dr Tan, pandangan jelas iaitu: "Apa pun, MAS sepatutnya, mulai sekarang, beroperasi atas dasar meritokrasi. Kita seharusnya sama-sama membantunya (Mueller) kerana anda tidak boleh mempunyai campur tangan politik (dalam soal ini).
"Bagaimana anda mahukan sebuah syarikat bersaing di arena antarabangsa jika 'kedua-dua tangan' diikat? Sebagai contoh, bagaimana anda dapat beraksi jika melangkah ke gelanggang tinju dengan kedua-dua tangan diikat?" katanya.
Dr Tan berkata, kebebasan bagi Mueller mengendalikan MAS juga perlu menyaksikan tiada sebarang campur tangan Kabinet kerana "Kabinet bukanlah sebuah syarikat penerbangan, jadi ia tidak seharusnya memutuskan bagaimana sebuah syarikat penerbangan itu beroperasi dan tugas Kabinet bukannya untuk mengendalikan sebuah syarikat penerbangan."
#CEO #Christoph Mueller #Dr Tan Seng Giaw #MAS #PAC
;