Bera akan jadi pusat penternakan terbesar negara

Bernama
Mac 31, 2014 19:00 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan Bera sebagai pusat ternakan haiwan terbesar di negeri ini sekaligus menjadikan Pahang pembekal utama daging di Malaysia suatu hari nanti.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah meminta Jabatan Veterinar supaya menjalankan kajian secara menyeluruh termasuk kos yang terlibat sebelum projek itu dilaksanakan di sini.
"Siasatan serta kajian tersebut perlu bagi mengetahui luas kawasan, bilangan penternak dan populasi ternakan itu sendiri," katanya di sini semalam..
Ismail Sabri berkata sehingga kini terdapat 29,784 ekor lembu, 400 ekor kerbau dan 5,700 ekor kambing diternak di daerah ini melibatkan 800 orang penternak.
Katanya perusahaan ternakan jika diusahakan secara komersial, mampu mendatangkan pulangan lumayan kerana permintaan ke atas daging semakin meningkat, terutama padamusim perayaan dan perkahwinan.
Ismail Sabri berkata ternakan yang ada di negeri ini terutamaa di Bera tidak mencukupi untuk menampung keperluan pasaran tempatan, apatah lagi untuk dieksport.
"Maka sebab itulah dalam beberapa tahun ini kami akan memberikan tumpuan untuk menjayakan projek ternakan berskala besar ini.
"Kami mahu apabila orang sebut sahaja fasal daging dan ternakan, daerah Bera boleh membekalkan daging dan memenuhi permintaan tersebut," katanya.
Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata soal makanan ternakan bukan satu masalah kerana daerah ini mempunyai banyak sumber yang boleh diproses untuk dijadikan makanan ternakan seperti daun kelapa sawit, daun nangka, daun cempedak, mengkudu, daun pisang dan rumput
Menurutnya, negara membelanjakan ratusan jutaan ringgit setiap tahun bagi mengimport makanan ternakan dari India dan beberapa negara lain sedangkan ia boleh diproses sendiri dan lebih menjimatkan. -- Bernama
#Bera #Ismail Sabri Yakob #penternakan
;