BEP SME Bank jana lebih RM192 juta jualan eksport pasaran global
Harits Asyraf Hasnan
Disember 11, 2024 08:00 MYT
Disember 11, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif Business Export Programme (BEP) SME Bank berjaya menarik penyertaan 83 syarikat dan menjana lebih RM192 juta jumlah jualan eksport keseluruhan ke pasaran global utama seperti Asia Tenggara, United Arab Emirates, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan inisiatif strategik yang dapat memperkukuhkan kedudukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bukan sahaja di pasaran domestik, tetapi juga di peringkat antarabangsa selaras Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.
“Kementerian mengiktiraf peranan penting segmen PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara kerana mereka membentuk sebahagian besar daripada hasil perniagaan, di mana PKS menyumbang RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023.
“BEP menyokong salah satu teras strategik DKN 2030 – Pengantarabangsaan Usahawan Tempatan, dan dengan itu saya berbesar hati melihat agensi kerajaan seperti SME Bank mengukuhkan lagi mandat mereka untuk terus memacu perkembangan ekosistem PKS,” katanya pada Majlis Graduasi BEP 2024 di ibu negara pada Selasa.
Dilancarkan pada tahun 2020, BEP adalah program intervensi berstruktur yang digerakkan oleh KUSKOP dan SME Bank sebagai agensi pelaksana, dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Program ini bertujuan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berprestasi tinggi untuk menembusi atau mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran eksport.
PKS yang menyertai program ini terlibat dalam proses saringan ketat, latihan, dan penilaian prestasi berdasarkan ciri-ciri yang sejajar dengan objektif program.
Sementara itu, Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim menjelaskan BEP adalah program komprehensif yang mengenal pasti dan melengkapkan PKS berpotensi tinggi untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa.
"Program ini distrukturkan melalui empat fasa sejak pelancarannya pada tahun 2020. Hari ini adalah detik yang penting bagi SME Bank, di mana kita telah menyaksikan sebanyak 43 syarikat daripada dua fasa pertama berjaya menamatkan program BEP, yang disambut dalam majlis graduasi pada hari ini.
"Sementara itu, peserta-peserta lain yang merangkumi 40 syarikat tempatan adalah dijadualkan untuk menamatkan program ini menjelang 2026," katanya.
Beliau memaklumkan, sokongan SME Bank kepada PKS tempatan untuk mengembangkan kedudukan di pasaran antarangbangsa tidak terhad kepada program BEP sahaja.
PKS kata beliau boleh memanfaatkan pelbagai khidmat tawaran SME Bank yang disediakan seperti kemudahan pembiayaan bagi membantu mengembangkan perniagaan antaranya Program Jaguh Serantau (RM200 juta), Program Pembiayaan HalalBiz (RM100 juta), Dana Transformasi Teknologi PKS (RM400 juta) serta Dana Kelestarian Alam (RM100 juta).