Belum ada keputusan mengenai lanjutan Pengerusi CIMB, kata Nazir

Bernama
Jun 30, 2018 05:50 MYT
NAZIR: Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Gambar fail
Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, tempoh perkhidmatan beliau akan berakhir pada Ogos 2019 dan dia belum memutuskan sama ada akan melanjutkan tempoh itu.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Nazir berkata, tiada komunikasi dibuat dengan sesiapa atau mana-mana badan mengenai kedudukannya.
"Pengerusi CIMB diputuskan oleh lembaga, pemegang saham dan Bank Negara Malaysia dan jika pada bila-bila masa salah seorang daripada mereka ingin saya mengundurkan diri, saya mesti dan saya akan berbuat demikian.
"Saya telah menghabiskan 29 tahun di sini, satu-satunya pekerjaan saya dan saya akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB," katanya.
Pengerusi CIMB tersebut mengulas laporan berita bertajuk "Pengganti Nazir dicari" yang diterbitkan pada Sabtu.
"Saya sedar ketidakpastian kepemimpinan tidak membantu, jadi saya berharap respons saya terhadap artikel berkenaan memberikan kejelasan sebaik mungkin sedaya upaya saya," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #CIMB #jawatan #Nazir Razak #pengerusi kumpulan #pengganti #tempoh
;