Belanjawan Selangor 2025 dibentang pertengahan November - MB

Bernama
September 24, 2024 13:38 MYT
Amirudin berkata tarikh pembentangan belanjawan tahunan ini dianjak berikutan kebanyakkan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir pada tarikh itu. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Belanjawan Selangor 2025 yang sepatutnya dibentangkan pada 8 November diubah kepada pertengahan November depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata tarikh pembentangan belanjawan tahunan ini dianjak berikutan kebanyakan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir pada tarikh itu.
"Perbincangan lanjut mengenai perkara itu telah dijalankan dan kita telah bersiap sedia bagi pembentangan berkenaan.
"Insya-Allah sesi belanjawan akan dibuat pada minggu kedua atau ketiga November nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di sini hari ini.
Amirudin berkata kedudukan ekonomi yang kini rancak diyakini menjadi daya bantu kepada kerajaan negeri untuk menghadapi tahun 2025 dengan lebih cemerlang.
Beliau berkata antara bidang yang menjadi tumpuan dan akan terus diperkasakan adalah berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta yang menyentuh kebajikan rakyat.
Kerajaan negeri akan menjadikan dialog belanjawan yang akan dilaksanakan secara bersiri melibatkan pihak berkepentingan sebagai platform mengenal pasti inisiatif dan nilai tambah bakal dilaksanakan kerajaan negeri tahun depan, tambah beliau.
Pada Belanjawan 2024, Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.
-- BERNAMA
#Belanjawan Selangor 2025 #Menteri Besar Selangor #Amirudin Shari #Belanjawan 2025
;