Belanjawan Selangor 2022: Penjawat awam Selangor terima Bantuan Khas satu setengah bulan gaji
Fareez Azman
November 26, 2021 18:10 MYT
November 26, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji untuk tahun ini kepada seluruh penjawat awam di negeri itu.
Jelasnya, bantuan itu disalurkan bagi menghargai usaha serta komitmen penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan kerajaan negeri kekal efisien dan berkesan.
"Untuk menghargai usaha serta komitmen para penjawat awam yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memastikan penyampaian perkhidmatan kekal efisyen dan berkesan.
"Sukacitanya saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan selama satu setengah bulan untuk tahun ini," jelasnya.
Tambah Amirudin, Bantuan Khas Kewangan Pertama selama satu setengah bulan gaji dengan minimum RM1,000 telah disalurkan sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2021.
Manakala Bantuan Khas Kewangan Kedua iaitu satu bulan gaji dengan kadar mininum RM1,000 akan dibayar pada 29 Disember depan.
"Manakala Bantuan Khas Kewangan kedua iaitu satu bulan gaji dengan minimum RM1,000.00 akan dibayar pada 29hb Disember 2021 dengan implikasi kewangan RM37.5 juta," jelasnya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.