Belanjawan Selangor 2022: Penerima KISS dan KISS-IT bakal terima RM300 sebulan
Fareez Azman
November 26, 2021 17:10 MYT
November 26, 2021 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dimana bantuan sebanyak RM3,600 setahun ataupun RM300 sebulan akan diberikan kepada setiap keluarga yang layak di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia bakal memanfaatkan 30,000 keluarga di Selangor dengan peruntukan RM108 juta dengan jangkaan 180,000 penerima manfaat.
"Bagi mendepani cabaran pasca pandemik, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk meluaskan capaian dan menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja oleh golongan ibu tetapi juga oleh keseluruhan keluarga.
"Iltizam yang dinamakan sebagai Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) ini akan memperuntukkan RM3,600 setahun ataupun RM 300 sebulan kepada setiap keluarga yang layak," jelasnya dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 pada Jumaat.
Bantuan itu tambah Amirudin dapat membantu golongan yang memerlukan membeli keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak serta saraan hidup.
"Pada tahun 2021, penerima bantuan KISS dan KISS-IT sedia ada adalah seramai 21,000 orang serta 9,000 orang tambahan penerima akan menikmati manfaat Program BINGKAS yang dijangka bermula pada Februari 2022," jelasnya lagi.
Sementara itu bagi program Iltizam Sayang Usia Emas (SMUE), kerajaan negeri jelasnya akan memperuntukkan sebanyak RM27.5 juta bagi memanfaatkan 402,000 warga emas yang telah mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas.
Ia melibatkan manfaat baucer beli belah RM100 pada bulan kelahiran dan khairat kematian bernilai RM500.
#Amirudin Shari
#pandemik
#pendidikan
#warga emas
#KISS-IT
#KISS
#bantuan
#BINGKAS
#Menteri Besar
#kerajaan negeri
#Selangor
#Belanjawan Selangor 2022