Belanjawan Selangor 2022: Dasar Memudahcara Perniagaan diperkenalkan

Fareez Azman
November 26, 2021 16:37 MYT
Dasar Memudahcara Perniagaan diperkenalkan bagi menarik lebih ramai pelabur tempatan dan luar negara menjadikan negeri itu pilihan utama pelaburan.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pengenalan Dasar Memudahcara Perniagaan bagi menarik lebih ramai pelabur tempatan dan luar negara menjadikan negeri itu pilihan utama pelaburan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan ia bagi memudahkan cara perjalanan perniagaan merangkumi Kebenaran Merancang (KM), Pelan Bangunan (PB) dan Pelan Infrastruktur (PI).
"Dalam pada itu, proses pembangunan tanah yang biasanya mengambil masa 270 hari atau sehingga setahun di Selangor akan dijimatkan hampir 50 peratus.
"Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mengukuhkan implementasi Smartbox PTGS bagi memudahkan urusan dan transaksi.
"Ini ekoran usaha yang diumumkan pada tahun 2020 tetapi menghadapi beberapa kekangan daripada Akta Tanah Negara. Kemudahan tersebut akan dilaksanakan dan diperluaskan pada tahun 2022 ke seluruh negeri Selangor," jelasnya sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Jumaat.
BACA: Belanjawan Selangor 2022 bernilai lebih RM2.34 bilion - MB
Pengecualian caj pemajuan
Dari sudut rumah mampu milik pula tambah Amirudin, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan.
"Bagi memacu dan menggalakkan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan iaitu RM 500 bagi pembinaan rumah mampu milik.
"Insentif ini akan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023.
"Selain itu, Dasar 100 Hari Kelulusan Tanah yang sebelum ini mensyaratkan bayaran deposit premium tanah 150% daripada anggaran akan diturunkan kepada 100% untuk mempermudahkan urusan pihak industri," jelasnya.
Dengan beberapa langkah yang diperkenalkan itu, ujarnya beliau yakin dapat meningkatkan kadar 'ease of doing business' di Selangor dan menggamit para pelabur untuk terus merancakkan ekonomi negeri itu.
Kompleks Perumahan Pekerja
Dalam pada itu, Amirudin turut mengumumkan kompleks perumahan pekerja akan dibangunkan di lapan kawasan yang bakal menempatkan kira-kira 60,000 pekerja melibatkan kawasan seluar 145 ekar.
Jelasnya, usaha melalui Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) bagi memartabatkan hak asasi pekerja industri dengan aspek kesihatan seperti sistem pengudaraan serta kediaman yang kondusif menepati Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"Sehingga kini, kawasan seluas 145 ekar dikenalpasti, iaitu 59 ekar tanah Kerajaan Negeri dan 86 ekar tanah milik PKNS untuk dijadikan sebagai kompleks perumahan pekerja dianggarkan dapat menempatkan kira-kira 60,000 pekerja
Antaranya di kawasan perindustiran di Taman Perindustrian USJ 1 (Subang Jaya), Pulau Indah (Klang), Kampung Baru Balakong (Hulu Langat), Taman Velox (Bandar Rawang), Telok Panglima Garang (Kuala Langat) dan Sungai Lang di Sabak Bernam.
"Kompleks ini akan turut dilengkapi dengan kedai dobi, restoran, kedai runcit menjadikannya sebuah komuniti tersendiri.
"Projek kerjasama awam-swasta ini diperuntukkan RM5 juta sebagai dana awal," jelasnya lagi.
#Belanjawan Selangor 2022 #Dasar Memudahcara Perniagaan #ekonomi Selangor
;