Belanjawan 2025: Tiada kemudahan sukan lengkap, Kelantan harap peruntukan tambahan

Bernama
Oktober 10, 2024 12:30 MYT
Zamakhshari berkata ketika ini Kelantan tidak memiliki prasarana dan kemudahan sukan yang lengkap. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk pembangunan infrastruktur sukan negeri ini menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata ketika ini Kelantan tidak memiliki prasarana dan kemudahan sukan yang lengkap.
Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri memerlukan peruntukan tambahan untuk menaik taraf infrastruktur sukan dan menyediakan kelengkapan asas bagi kegunaan atlet.
"Kelantan bakal menjadi tuan rumah SUKMA (Sukan Malaysia) pada 2028, dan kami berharap peruntukan tambahan ini dapat disalurkan menerusi Belanjawan 2025.
"Peruntukan ini amat penting bagi persiapan SUKMA akan datang serta untuk melahirkan bakat besar dalam pelbagai sukan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2025 #Kelantan #infrastruktur sukan #Zamakhshari Muhamad
;