KUALA LUMPUR : Hampir semua inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur dicadangkan Kementerian Kerja Raya (KKR) diterima kerajaan dalam Belanjawan 2025.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR menerima RM10.35 bilion peruntukan keseluruhan bagi tahun 2025 iaitu kenaikan sembilan peratus berbanding RM9.511 bilion pada
2024.

“Jumlah peruntukan mengurus KKR diluluskan adalah RM1.022 bilion, kenaikan lapan peratus berbanding RM949.37 juta pada 2024 bertujuan meningkatkan sistem penyampaian yang lebih cekap dan

berkualiti.

“Di samping kenaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), bajet mengurus ini akan dimanfaat bagi meningkatkan keupayaan kementerian serta komitmen warga KKR ke arah sistem penyampaian lebih cekap, berkesan dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Alexander menambah, KKR menerima RM9.327 bilion peruntukan pembangunan, peningkatan sembilan peratus berbanding RM8.561 bilion pada 2024 dengan tumpuan untuk membina, memperbaiki, mengganti dan menaik taraf infrastruktur termasuk jalan, jambatan dan Bangunan Persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas mengenai aspirasi MYJalan yang dilancarkan pada 2023, Alexander berkata, sebanyak RM2.8 bilion disediakan bagi menyelenggara Jalan Persekutuan dengan RM1 bilion khusus untuk Jalan Sekunder, Jalan Felda dan Jalan Industri yang dikenal pasti memerlukan penyelenggaraan segera.

Jelasnya, sebanyak RM450 juta dikhaskan untuk memperkasa lebih ramai kontraktor Kecil Bumiputera Kelas G1-G4, meningkat dari RM300 juta pada 2024 melalui kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan.

Peruntukan RM178 juta pula diberi untuk memasang lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di jalan Persekutuan, meningkat 48 peratus daripada RM120 juta tahun lalu manakala RM30 juta untuk 115 Jurutera Daerah JKR bagi menangani kerja-kerja mendesak.

Dengan penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2025, KKR komited meningkatkan kualiti pembangunan infrastruktur bagi memastikan rakyat menikmati akses perkhidmatan yang lebih selamat dan selesa.

“Bagi memastikan kejayaannya, ia memerlukan keterangkuman seluruh warga Malaysia terdiri daripada rakyat, kerajaan dan industri dengan disulami semangat perpaduan, tatakelola yang baik serta sistem penyampaian awam bersepadu,” ujarnya.