Belanjawan 2025: Penjawat awam tidak dilupa, ini manfaat untuk mereka
Astro Awani
Oktober 18, 2024
20:19 MYT
Lebih RM1.8 bilion ringgit disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengajak penjawat awam menerapkan budaya kerja baharu untuk menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat.
Ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan penjawat awam:
- Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar. Bagi fasiliti kesihatan yang mengguna pakai sistem ini, Kerajaan bersetuju supaya Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara RM55 hingga RM65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan Jabatan tertentu.
Sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat, Kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian INTAN. Di bawah program ini, Kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Lebih RM1.8 bilion ringgit disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
LPPSA akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.
Bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja akan diperluas dan dipermudah.
Bagi anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang hilang upaya kekal semasa dalam operasi, bayaran faedah Ex-Gratia Operasi sehingga RM50,000 akan diberikan bagi bencana kerja mulai tahun 2024.
Bayaran faedah Ex-Gratia Pukal sebanyak RM20,000 turut diberikan sebagai tambahan kepada waris bagi kes kematian bencana kerja mulai tahun 2024.
Kadar Elaun Layanan Sentiasa dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM500 mulai 1 Januari 2025 termasuk kepada penerima sedia ada.