Belanjawan 2025: Pembiayaan RM470 juta penting untuk pertingkat usahawan PMKS wanita

Bernama
Oktober 20, 2024 04:45 MYT
Soh Thian Lai berkata, sokongan akses kepada pembiayaan sedemikian adalah sejajar dengan usaha FMM untuk menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan usahawan wanita, memacu pembangunan ekonomi yang inklusif. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM470 juta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diteraju wanita akan berperanan penting membantu usahawan wanita memperoleh modal kerja, membeli aset dan meluaskan kapasiti perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sokongan akses kepada pembiayaan sedemikian adalah sejajar dengan usaha FMM untuk menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan usahawan wanita, memacu pembangunan ekonomi yang inklusif.
"Kami menyambut baik inisiatif RM470 juta dalam bentuk dana pembiayaan yang disediakan oleh SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang telah diperjuangkan secara aktif oleh FMM," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, beliau mengalu-alukan peruntukan berjumlah RM3.8 bilion bagi pinjaman pendigitalan dan automasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagaimanapun, katanya, pinjaman itu perlu ditawarkan pada kadar faedah rendah dua hingga tiga peratus memandangkan banyak PKS masih ketinggalan berbanding rakan serantau dari segi penerimagunaan teknologi Industri 4.0.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng pula memuji inisiatif kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan dan melaksanakan langkah mengurangkan pembaziran, termasuk menggabungkan agensi dan melanjutkan pembiayaan bersubsidi dan jaminan kredit untuk PKS.
"Peruntukan RM3.8 bilion bagi automasi dan pendigitalan akan dapat membantu manakala RM650 juta yang disediakan untuk menyokong usahawan wanita dan belia adalah strategi inklusif.
"Kami juga menghargai geran padanan latihan industri yang akan dilaksanakan oleh TalentCorp, yang akan membantu meredakan masalah mengenai bakat dalam kalangan PKS di samping membolehkan lebih ramai pelajar menimba pengalaman praktikal," katanya.
Mengulas mengenai kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, katanya, Samenta mengakui bahawa gaji di Malaysia terlalu rendah, justeru banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk menaikkan gaji rakyat.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan bahawa gaji minimum dilaksanakan dalam keadaan pengecilan margin bagi PKS dan akan menjejaskan operasi mereka.
"Selain kehilangan pekerjaan, kita akan melihat pengecilan gaji yang seterusnya dalam kalangan M40 dengan pekerja asing menjadi penerima terbesar gaji minimum yang disemak semula," katanya.
Mengenai cukai dividen dua peratus, Ng berkata, ini akan merugikan pemilik PKS secara tidak seimbang kerana sebahagian besar dividen akan diberikan kepada pemilik PKS, bukan pelabur senyap atau rawak seperti syarikat tersenarai.
"Ramai pemilik PKS tidak mengambil gaji, disebabkan kekurangan aliran tunai yang dialami kebanyakan PKS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Oleh itu, mengenakan cukai kepada mereka terhadap dividen daripada pendapatan yang sudah dikenakan cukai bukan sahaja satu bentuk cukai berganda tetapi akan menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan mereka atau memperoleh keuntungan lebih tinggi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk mengecualikan PKS daripada dikenakan cukai dua peratus ke atas dividen.
Sementara itu, Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, sebagai pemain teknologi kewangan terkemuka di negara ini, syarikat mahu melihat langkah menyokong PKS untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta kekal mengutamakan rakyat.
"Sokongan berterusan untuk pendigitalan PMKS melalui inisiatif seperti Geran Padanan Digital kepada PKS dan Geran Digital untuk vendor juga penting.
"Walaupun sesetengah PKS Malaysia berkembang maju dengan menyesuaikan diri dengan trend digital dan permintaan pasaran semakin berkembang, masih ramai menghadapi cabaran ketara terutama dalam mengakses pembiayaan, mengurus kos dan mengemudi landskap digital yang semakin meningkat," katanya.
Sehubungan itu, Chai berkata, Funding Societies Malaysia terus mengembangkan penawaran produk dan meningkatkan penglibatan dengan perniagaan, dengan menangani keperluan kewangan mereka dengan lebih berkesan.
"Ini termasuk perkongsian dengan agensi seperti SME Corp, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB)," katanya.
Pengasas Bersama dan Presiden Paywatch Malaysia Alex Kim pula berkata, penekanan Belanjawan 2025 terhadap menyokong PKS melalui insentif cukai, melabur dalam infrastruktur digital dan melancarkan program celik kewangan di seluruh negara adalah penting untuk mengekalkan momentum ini dan memastikan daya tahan jangka panjang.
"Sebagai syarikat yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan kewangan, kami percaya memperkasakan individu dengan akses lebih baik kepada pendapatan menyumbang kepada tenaga kerja yang lebih terjamin dari segi kewangan.
"Apabila orang ramai mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap kewangan mereka, ia mengukuhkan keyakinan pengguna dan kuasa perbelanjaan - elemen utama untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi," katanya. - BERNAMA
#Belanjawan 2025 #PMKS wanita #peruntukan dana #Soh Thian Lai
;