Belanjawan 2025 peluang kerajaan perhebat reformasi ekonomi
Shafizan Johari
Oktober 18, 2024 12:10 MYT
Oktober 18, 2024 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang hari ini merupakan peluang penting bagi kerajaan untuk meneruskan usaha reformasi ekonomi Malaysia.
Kerajaan telah memulakan langkah reformasi ini dengan memperkenalkan pendekatan berani, seperti pelaksanaan dasar pengapungan harga diesel, yang dijangka akan diteruskan pada tahun hadapan.
Cabaran utama adalah untuk mencapai keseimbangan antara dasar fiskal yang mampan dan pada masa yang sama, tidak terlalu membebankan rakyat.
Dasar ini perlu berupaya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat.
Belanjawan kali ini juga dijangka melibatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara dengan ramai pakar ekonomi meramalkan kerajaan akan terus meningkatkan perbelanjaan, malah laporan daripada akhbar The Edge yang menjalankan survei ke atas pakar-pakar ekonomi menjangkakan Belanjawan 2025 akan melebihi RM400 bilion, menjadikannya yang terbesar setakat ini.
Persoalan kini adalah apakah keutamaan yang akan diberikan oleh kerajaan – sama ada menumpukan kepada perbelanjaan pembangunan atau memperkenalkan mekanisme yang dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah akibat reformasi ekonomi yang sedang dijalankan.
Ini merupakan kali ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, oleh itu, dokumen ini penting dalam merealisasikan falsafah reformasi ekonomi negara, selaras dengan hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang diramalkan oleh Bank Dunia menjelang tahun 2027.