Belanjawan 2025: MITI seru syarikat Malaysia teroka peluang di Ethiopia

Bernama
Oktober 26, 2024 23:58 MYT
Tengku Zafrul berkata peruntukan itu adalah bagi membantu pengeksport Malaysia mengakses pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuklah di Afrika. - Gambar X @tzafrul_aziz
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia diseru untuk meneroka peluang perniagaan baharu di Ethiopia, dengan mengambil kesempatan daripada peruntukan RM40 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata peruntukan itu adalah bagi membantu pengeksport Malaysia mengakses pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuklah di Afrika.
"Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali kini di Malaysia untuk lawatan rasmi.
"Perbincangan delegasi Malaysia bersama beliau meliputi usaha meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala termasuklah dalam pelaburan, industri halal dan komoditi," katanya menerusi catatan di laman X, hari ini.

Cintaku sampai ke Ethiopia. Lagu ni cukup popular era 80-an dulu. Hari ini cintaku tak sampai ke Ethiopia, tapi cinta dari Ethiopia yang sampai ke Malaysia. Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali, kini di Malaysia untuk lawatan rasmi. Perbincangan delegasi Malaysia bersama pic.twitter.com/VUOkmXJJuH

— Tengku Zafrul (@tzafrul_aziz) October 26, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, kerajaan memperuntukkan RM2.184 bilion secara keseluruhan kepada MITI.
Dari segi penerokaan pasaran untuk produk dan perkhidmatan Malaysia, geran pembayaran balik RM40 juta akan diperuntukkan kepada MATRADE untuk membantu pengeksport menembusi pasaran baharu dan pelbagai, termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2025 #lawatan rasmi #MITI #Matrade
;