Belanjawan 2025 lebih gah, saksama - PM Anwar

Astro Awani
September 25, 2024 22:50 MYT
Perdana Menteri sempat meninjau warga Kementerian Kewangan yang sedang giat menyiapkan Belanjawan MADANI Ketiga hari ini - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada 18 Oktober ini disifatkan sebagai lebih gah dan saksama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi pembentangan tersebut, Malaysia akan mara satu langkah lagi menuju wawasan kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, warga Kementerian Kewangan ketika ini sedang giat menyiapkan Belanjawan MADANI Ketiga.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerajaan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan belanjawan yang terangkum untuk meningkatkan darjat rakyat dan pembangunan negara," katanya dalam kemas kini di Facebook malam ini.
Perdana Menteri berkata beliau juga sempat meninjau persiapan Belanjawan 2025, selain memberi pandangannya.
Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi MADANI.
Langkah itu disokong dengan tumpuan terhadap aspek penanda aras disasarkan dalam kerangka Ekonomi MADANI, termasuk membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.
#Belanjawan 2025 #Kementerian Kewangan #Facebook #ekonomi madani
;