Belanjawan 2025: Komuniti India tidak terpinggir - Ramanan

Bernama
Oktober 18, 2024 04:00 MYT
Belanjawan 2025 jelas membuktikan bahawa komuniti India tidak dipinggirkan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R. Ramanan. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 jelas membuktikan bahawa komuniti India tidak dipinggirkan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, ia dibuktikan dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan sebanyak RM130 juta untuk melaksanakan pelbagai program, termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India.
"Kita lihat kesungguhan Perdana Menteri menyamaratakan semua kaum... jadi tiada isu ada komuniti tertentu terpinggir.
"Bantuan dan peruntukan yang disediakan bukan khusus untuk mana-mana kaum, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia contohnya peruntukan-peruntukan khusus buat sektor pendidikan menerusi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina serta sekolah kebangsaan," katanya ketika ditemui di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2025, di sini, pada Jumaat.
Ramanan berkata, sebelum ini, Kerajaan MADANI juga telah meluluskan pembangunan sosioekonomi masyarakat India antaranya RM100 juta bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan RM30 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI). - BERNAMA
#Belanjawan 2025 #pendidikan #komuniti India #Sekolah Kebangsaan
;