Belanjawan 2025: Ini langkah kerajaan tingkat kesejahteraan penduduk rumah mampu milik

Astro Awani
Oktober 18, 2024 19:09 MYT
Kerajaan juga terus menggembleng usaha memastikan persekitaran PPR dan komuniti perumahan menjadi lebih manusiawi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI meletakkan keutamaan memastikan kesejahteraan perumahan mampu milik untuk rakyat.
Kerajaan juga terus menggembleng usaha memastikan persekitaran PPR dan komuniti perumahan menjadi lebih manusiawi.
Antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan ialah:
- Hampir RM900 juta bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang 110 Perai Tengah.
- Skim Jaminan Kredit Perumahan Madani (SJKP) telah luluskan RM12.8 bilion Jaminan Kerajaan kepada lebih 57,000 pembeli rumah pertama.
- Kerajaan bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat antaranya penghuni PPRT, nelayan, Kampung Baru Cina, kepada maksimum RM90,000.
- Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum RM20,000.
- Rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif-lif usang dengan peruntukan hampir RM200 juta.
- 48 buah Taman Awam MADANI dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta.
- Kampung Baru Cina diperuntukkan RM84 juta antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti.
- 180 kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan 45 butang cemas akan dipasang di Putrajaya dan Labuan bagi meningkatkan tahap keselamatan.
#Belanjawan2025 #Belanjawan25 #rumah mampu milik #golongan B40
;