Belanjawan 2025: Cukai Warisan tidak dibincang - Loke

Madiha Abdullah
Oktober 13, 2024 15:06 MYT
Loke menasihatkan orang ramai supaya menunggu pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri sebelum membuat sebarang kesimpulan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan dakwaan kerajaan ada mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Cukai Warisan, dan menyifatkan ia sebagai khabar angin semata-mata.

Ringkasan AI
  • Penafian Cukai Warisan: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menafikan dakwaan bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Cukai Warisan, menyifatkannya sebagai khabar angin.
  • Nasihat Menunggu Belanjawan 2025: Loke menasihatkan orang ramai untuk menunggu pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenai isu cukai.
  • Penjelasan Rang Undang-Undang Mufti: Loke meminta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, untuk memberi penjelasan tepat kepada anggota DAP mengenai Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menasihatkan orang ramai supaya menunggu pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum membuat sebarang kesimpulan.
“Mengapa kita perlu menjadikan ini isu? Ia hanya andaian oleh sesetengah penganalisis. Tidak semua yang disebut oleh penganalisis adalah benar atau akan dipertimbangkan atau akan dilaksanakan.
“Nasihat saya kepada orang ramai terutama ahli kita sendiri, jangan percaya dengan semua andaian. Sentiasa semak fakta, perkara-perkara tertentu sebelum membuat apa-apa kesimpulan atau membuat apa-apa komen, kerana beberapa ahli parlimen kita telah tampil untuk menyatakan pendirian mereka dan ini tidak dirundingkan dengan kepimpinan pusat.
“Seperti saya katakan, ini bukan isu. Ia tidak dibincangkan dan dipertimbangkan, ia timbul secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan Cukai Warisan adalah salah satu daripada lima cukai baharu yang akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober.
Antara cukai lain yang disebut bakal diperkenalkan ialah Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat, dikenali sebagai Fat Tax, Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Sementara itu, Loke memaklumkan telah meminta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan untuk memberi penjelasan yang tepat kepada anggota DAP berhubung Rang Undang-undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.
Kata Loke, ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham mengenai dakwaan penggubalan RUU itu akan menggugat kebebasan rakyat di negara ini.
"Saya rasa menteri agama (Datuk Mohd Na'im Mokhtar) telah menjelaskan bahawa apa yang disebut (pandangan) sesetengah pihak tidak dalam perspektif yang betul.
“Mengenai rang undang-undang itu, saya telah meminta Ahli Parlimen Bangi, Sharedzan Johan, untuk meneliti rang undang-undang itu, baris demi baris, bagi memberi kefahaman yang lebih baik kepada ahli DAP sebelum sidang parlimen,” katanya.
RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Okt ini.
RUU Mufti itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan (WP) sahaja.
#cukai warisan #Anthony Loke #Belanjawan 2025 #RUU Mufti
;