Belanjawan 2025 beri penekanan kepada prinsip keterangkuman - Aaron

Bernama
Oktober 19, 2024 16:39 MYT
Aaron berkata, keterangkuman itu penting bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir, sekali gus mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Belanjawan 2025, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, memberi penekanan kepada prinsip keterangkuman, dengan mengambil kira keperluan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama, dan budaya.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan hari ini berkata keterangkuman itu penting bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir, sekali gus mengukuhkan perpaduan serta keharmonian negara.
Beliau berkata peuntukan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) meningkat 11.88 peratus kepada RM711.34 juta berbanding Belanjawan 2024, merangkui RM587.35 juta untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM123.99 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.
"KPN akan terus memperkasa hala tuju perpaduan negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif serta program yang dapat melestarikan perpaduan rakyat di samping memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
"KPN akan memberikan tumpuan kepada tiga fokus utama pada 2025 iaitu pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga Progresif, Eksplorasi Rukun Negara dan Inisiatif Harmoni MADANI.
"KPN yakin dan percaya pembentangan belanjawan ini selari dengan hasrat Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan Indeks Perpaduan Nasional sebanyak 0.7 peratus pada 2025," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program amat penting bagi mewujudkan tapak integrasi yang mampu meningkatkan interaksi antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.
Menerusi Belanjawan 2025, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa inisiatif kepada KPN antaranya pelaksanaan program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri dengan peruntukan RM50 juta.
Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai penghubung jalin dalam komuniti, RM15 juta bagi pendigitalan bahan-bahan khazanah warisan negara dalam usaha memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam dan RM10 juta untuk pembaikan dan penyelenggaran premis perpaduan dalam meningkatkan perkhidmatan awam kepada rakyat.
-- BERNAMA
#Aaron Ago Dagang #Belanjawan 2025 #prinsip keterangkuman #rakyat Malaysia
;