Belanjawan 2024 rancakkan pertumbuhan industri kreatif - Altimet
Bernama
Oktober 14, 2023 19:20 MYT
Oktober 14, 2023 19:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM160 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi membantu merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat.
Komposer dan penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet berkata kerancakan industri kreatif mampu memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
"Secara puratanya, sektor industri kreatif di negara membangun menyumbang enam hingga 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi di Malaysia industri tersebut menyumbang sekitar dua peratus.
Jadi, sebagai anak seni, kita perlu lebih berusaha untuk meningkatkan sumbangan tersebut sekurang-kurangnya kepada enam peratus KDNK. Namun, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan kerana bukan mudah untuk menggapainya," katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan RM160 juta bagi menyokong industri kreatif negara untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang akan memanfaatkan penggiat seni.
Peruntukan itu antaranya melibatkan RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan, RM90 juta di bawah inisiatif "Film in Malaysia Incentive" (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative untuk menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.
Penyanyi itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menyifatkan pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas artis tempatan di Wilayah Persekutuan sebagai satu langkah yang wajar dan bertepatan sekali gus menyaksikan kebangkitan semula industri kreatif.
"Bagi saya, ia adalah ubat plaster yang membantu, memandangkan kalau dilihat sebelum ini di Selangor, kadar 15 peratus sudah dihapuskan dan ia bergantung pada negeri. Tetapi, lokasi utama seperti Kuala Lumpur sebelum ini adalah 25 peratus dan pengumuman ini tentunya melegakan penggiat seni tempatan," katanya.
Dalam pada itu, gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), yang terdiri daripada gabungan tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan turut melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan ekonomi industri perfileman negara seiring dengan kemajuan ekonomi.
Presiden GAFEMA Pansha berkata peruntukan RM90 juta di bawah insentif FIMI akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.
"FIMI menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa. Pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara sifar hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem secara langsung menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Turut senada, MyCreative Ventures (MyCreative) menyifatkan Belanjawan 2024 bertepatan dengan keperluan pemain industri kreatif tanah air yang mengharapkan sokongan jitu serta bersasar daripada kerajaan.
"Kami gembira dan berterima kasih kepada kerajaan dengan peruntukan RM10 juta untuk menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative yang bertujuan menyokong anak-anak seni dalam menghasilkan projek kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf global.
Pengerusi Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) Amirul Haswendy Ashari berharap agar lebih ramai penggiat seni teater baharu diberi ruang dan peluang untuk berkarya.
"Berdasarkan pengalaman sebagai sebuah persatuan baharu, kami berdepan kesukaran untuk mengetengahkan karya," katanya yang bergiat aktif sejak Oktober tahun lepas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan peruntukan Belanjawan 2024 untuk industri kreatif adalah pragmatik dan berpandangan jauh khususnya untuk memperkasakan industri dengan menggalakkan pelaburan sektor swasta.
Menerusi catatan di Facebook hari ini Norman berkata pemotongan duti hiburan bagi artis antarabangsa dan pelupusan duti hiburan bagi persembahan artis tempatan juga akan menggalakkan lebih banyak konsert diadakan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
-- BERNAMA