Belanjawan 2024: Peruntukan khusus perlu untuk pacu pendigitalan pendidikan

Bernama
Oktober 3, 2023 04:20 MYT
Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini untuk memacu usaha pendigitalan pendidikan ini. - Gambar hiasan/Freepix
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi tumpuan khusus dalam meningkatkan fasiliti dan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan dalam sistem pendidikan negara dapat dijayakan sepenuhnya pada tahun hadapan
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Anuar Ahmad berkata, untuk tujuan itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini untuk memacu usaha pendigitalan pendidikan ini.
"Dalam usaha memacu agenda pendigitalan pendidikan, setiap sekolah perlu mempunyai capaian internet yang baik bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan pedalaman bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
"Selain itu, untuk melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran, penyediaan peranti yang bersesuaian juga perlu diberi keutamaan selain perluasan skim bantuan peranti bagi memastikan lebih ramai murid daripada keluarga miskin mendapat manfaat ini," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, selain itu guru juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran pedagogi berteraskan teknologi maklumat.
"Bagi tujuan itu kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan khas untuk program latihan meningkatkan kemahiran pedagogi guru-guru. Selain itu peruntukan bagi menyediakan lebih banyak kandungan digital juga perlu diperuntukan," katanya.
Anuar berkata, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga harus diangkat sebagai satu aliran perdana dalam sistem pendidikan negara dan bukan lagi sebagai pilihan kedua memandangkan bidang itu hari ini melibatkan aspek teknologi tinggi seperti teknologi kecerdasan buatan termasuk robotik.
"Program TVET juga perlu dipelbagaikan bentuk kursus yang ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa seperti memperkenalkan kemahiran teknologi teknikal dalam bidang pengajian TVET pertanian dan penternakan.
"Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang pengajian TVET dan teknikal untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia selain membina lebih banyak institusi TVET dan teknikal yang baharu. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu menyediakan insentif untuk menarik dan melibatkan lebih banyak pihak swasta dalam menyediakan peluang kerjaya dalam bidang TVET dan teknikal," katanya.
Turut senada pensyarah Kaunseling dan Psikologi Fakulti Pendidikan (UKM), Prof Salleh Amat yang berharap agar infrastruktur ke arah pendigitalan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar diberikan perhatian utama bagi mengelakkan pelajar dari kawasan ini terus tercicir daripada perkembangan teknologi semasa.
"Infrastruktur kena tambah baik, kemas kini apa yang sepatutnya, itu paling penting khususnya di kawasan luar bandar kerana bila sebut soal digitalisasi ini yang berkait dengan teknologi selalunya bergerak pantas.
"Kalau betul kerajaan mahu melaksanakan pendigitalan dalam sistem pendidikan negara itu satu usaha yang sangat bagus tetapi kawasan luar bandar jangan dipinggirkan," katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM berkata, peruntukan perlu disediakan bukan sahaja untuk menyediakan fasiliti berteknologi tetapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik yang perlu ditambah baik.
"Isu bekalan elektrik terputus di sekolah masih lagi dilaporkan berlaku dan perkara itu boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid. Kadang-kadang ada cikgu sekolah macam di Sabah dan Sarawak memaklumkan apabila waktu petang sahaja, bekalan elektrik terputus dan ini menyebabkan anak-anak belajar dalam suasana yang tidak selesa dan panas," katanya.
Menurutnya selain itu terdapat juga sekolah yang tidak dilengkapi dengan alat pembelajaran seperti projektor sedangkan peralatan asas pengajaran seperti itu sepatutnya sudah tersedia di setiap sekolah bukan sahaja di sekolah bandar tetapi juga luar bandar.
Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Dr Ahmad Ismail berkata sektor pendidikan tinggi boleh memainkan peranan mereka dalam usaha mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.
Dalam hal itu, kerajaan perlu memberi peruntukan khas bagi memboolehkan pensyarah menjalankan kajian berkaitan seterusnya menyumbang semula hasil kajian kepada kerajaan untuk rujukan atau menjadi garis panduan dalam merangka dasar berkaitan.
"Selain itu, peruntukan juga diperlukan untuk menyediakan kemudahan pembantu seperti pasca doktoral dan pembantu penyelidik. Lebih ramai professor emeritus dalam kalangan profesor bersara yang masih aktif juga perlu dilantik dan menyediakan peruntukan kewangan untuk mereka meneruskan kajian berimpak tinggi.
"Dalam usaha untuk memasyarakatkan ilmu menara gading, peruntukan bagi menganjurkan seminar sekurang-kurangnya sekali setahun mengikut bidang juga adalah diperlukan untuk mengumpul maklumat semasa daripada penyelidik khususnya berkaitan isu semasa," katanya. - BERNAMA
#guru #kajian berimpak tinggi #isu semasa #TVET
;