Belanjawan 2024 perlu bantu PMKS harungi persekitaran mencabar - Tinjauan RAM-CTOS
Bernama
Oktober 9, 2023 07:45 MYT
Oktober 9, 2023 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 amat penting untuk langkah menyalurkan bantuan dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya sektor itu dapat mengharungi persekitaran mencabar di samping mendorong merealisasikan visi Ekonomi MADANI, menurut RAM Holdings Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan Pengarah Eksekutif, Chris W.K. Lee berkata perancangan menerusi kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menunjukkan kerajaan amat menyedari keperluan untuk menyokong PMKS.
"Akses kepada pembiayaan adalah cabaran utama yang sering disebut oleh PMKS, dan penting untuk bercakap mengenai program sokongan secara jelas di samping memastikan proses penyertaan atau pentadbiran tidak terlalu rumit atau menyusahkan pemohon," katanya dalam kenyataan bersama CTOS Data Systems Sdn Bhd pada Isnin.
Menurut kenyataan bersama itu, Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM-CTOS susut kepada 50.4 pada suku ketiga 2023 daripada 54.8 yang dicatatkan suku sebelumnya, mengakhiri rentetan peningkatan selama dua sukuan, dengan sentimen kekal positif pada tinjauan ketiga berturut-turut.
Walau bagaimanapun, keadaan operasi masih mencabar yang dijangka menjejaskan keyakinan perniagaan bagi tempoh tiga bulan akan datang.
"Penurunan subindeks jualan (-6.7 mata) dan keberuntungan (-7.0 mata) suku ke suku adalah amat ketara dan konsisten dengan permintaan yang semakin perlahan dan tekanan inflasi lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai penurunan itu, CEO Kumpulan, CTOS Digital Bhd, Erick Hamburger berkata landskap sentimen perniagaan yang berubah adalah disebabkan oleh keadaan operasi semasa yang mencabar.
"Bagi CTOS, kami terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang dan kami komited untuk menguruskan risiko kredit perniagaan, mengukuhkan daya tahan PKS semasa mereka mengharungi tempoh yang mencabar ini," katanya.
Beliau berkata CTOS juga membantu PKS memulihkan hutang lapuk dengan mengukuhkan tingkah laku pembayaran yang baik supaya dapat mengurangkan cabaran aliran tunai.
"Usaha kami telah berhasil apabila mencatatkan pemulihan lebih RM1 bilion setiap tahun, seterusnya menunjukkan komitmen kami kepada PKS dan dedikasi untuk memupuk daya tahan kewangan mereka," katanya.
Beliau juga berkata kekangan aliran tunai akan menjadi cabaran lazim kepada perusahaan mikro dalam tempoh 12 bulan akan datang, lebih daripada terhadap PKS dan korporat.
Daripada 165 syarikat yang ditinjau pada suku ketiga 2023, 64 peratus menyatakan kadar cukai pendapatan yang lebih rendah sebagai langkah paling bermanfaat yang boleh disediakan menerusi Belanjawan 2024, manakala 44 peratus pula mahu pengurangan tarif utiliti.
"Jika perkara ini dilaksanakan, ini akan membantu mengurangkan tekanan kos ke atas perniagaan," menurut RAM dan CTOS.
Kedua-dua pihak juga mendapati perusahaan mikro kecewa dengan ketatnya skim bantuan, dengan kira-kira satu pertiga daripada mereka menyatakan halangan itu.
-- BERNAMA