Belanjawan 2024: Malaysia kekal pilihan pelabur asing, raih pelaburan diluluskan RM132.6 bilion
Firdaus Azil
Oktober 13, 2023 16:26 MYT
Oktober 13, 2023 16:26 MYT
KUALA LUMPUR: Separuh pertama 2023 menyaksikan Malaysia berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion, melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu merangkumi RM63.3 bilion pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek, dan dijangka menghasilkan lebih 51,000 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, menjengah usia hampir setahun, pimpinan Kerajaan Perpaduan sedaya upaya menjelmakan semula kekuatan watan, dan memastikan ekonomi domestik Malaysia terus kukuh.
“Kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos 2023; iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 (3.3 peratus).
“Kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi, tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara beransur-ansur setiap bulan. Pada Ogos 2023, kadar inflasi hanya 2 peratus iaitu antara terendah di rantau ini malah lebih baik ketimbang negara ekonomi maju,” katanya lagi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong, dan setakat Ogos 2023 menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta pelancong, iaitu lebih tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
Beliau berkata, indikator yang digariskan jelas merupakan kekuatan hakiki negara, dan beliau yakin ekonomi akan terus pulih meski sedang menghadapi cabaran nilai ringgit.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, walaupun situasi semasa membuktikan negara di landasan yang tepat, namun Kerajaan tidak boleh mendabik dada dan terlalu cepat berpuas hati.
“Perlu diakui bahawa situasi ekonomi global yang mencengkam telah menempiasi prestasi ekonomi kita. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023 mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.
“Secara keseluruhan, kita mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus. Pencapaian ini cerminan permintaan eksport yang lebih perlahan selain dampak asas yang tinggi pada suku kedua tahun lalu. Seiring realiti perkembangan ini, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus,” katanya lagi.
Justeru Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2024 yang bertemakan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi kerangka besar bagi berdepan kepelbagai cabaran semasa, dan jangka panjang dengan menaikkan siling dan lantai.
“Tumpuan utama adalah untuk merombak struktur ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat. Langkah-langkah segar di bawah Ekonomi MADANI adalah untuk mencapai tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana.
“Ekonomi MADANI juga menjadi induk kepada dasar-dasar yang telah diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12),” katanya lagi.