Belanjawan 2024: Kerajaan tambah baik tatakelola GLC, pengurusan hutang negara - Anwar

Bernama
Oktober 13, 2023 19:07 MYT
Anwar berkata DFI juga akan distruktur semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank dan Exim Bank. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik kemampanan hasil, perlindungan sosial, tatakelola syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengurusan hutang negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa langkah akan dilaksanakan seperti menambah baik pengenaan duti setem serta menyelaras pentadbiran insentif cukai bagi mengurangkan ketirisan kutipan hasil.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan akan memperkukuh pentadbiran cukai termasuk mempermudah pulangan balik cukai serta memusatkan usaha kutipan cukai.
"Liputan sistem perlindungan sosial akan turut diperluas terutamanya melibatkan warga emas dan sektor tidak formal," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata institusi kewangan pembangunan (DFI) juga akan distruktur semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank dan Exim Bank.
Sementara itu, persekitaran modal teroka juga akan diperkukuh melalui pemusatan agensi modal teroka seperti Penjana Kapital dan MAVCAP di bawah Khazanah Nasional Bhd, katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #Dewan Rakyat #GLC #warga emas
;