Belanjawan 2024: Kawalan harga telur, ayam dilepaskan - PM Anwar
Bernama
Oktober 13, 2023 18:24 MYT
Oktober 13, 2023 18:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan sebelum ini akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan tersebut di pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman berkenaan langkah konkrit akan diperincikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu tempoh dua minggu ini.
"Sejak Februari 2022, soal subsidi telur dan ayam yang dulu hanya diperkenalkan semasa musim perayaan, tetapi sekarang berterusan dengan tanggungan kerajaan sejak itu ialah sebanyak RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam ini termasuk untuk golongan kaya dan orang asing.
"Sekarang kebetulan harga ayam dan telur mulai stabil dan oleh demikian kerajaan menimbang supaya diapungkan berdasarkan harga yang lebih rendah daripada harga apungan kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah berunding dengan pihak pengeluar dan memastikan tidak ada kenaikan yang tidak munasbah oleh syarikat dan peniaga," kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik dan berharap keputusan itu memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga serta amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian.
Anwar berkata kerajaan juga bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta, selain pengecualian bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan berhasrat merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.
Beliau berkata ini kerana menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus yang memberi makna wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang murah.
"Secara konsepnya harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barang sementara pengguna lain akan dikenakan harga lebih tinggi, sekali gus dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama mengurangkan impak harga barangan untuk rakyat," kata beliau.
Sebagai langkah penguatkuasaan, Anwar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan langkah kawalan ketat dan menyeluruh, di samping memperkukuh kapasiti dan fungsi Suruhanjaya Pesaingan Malaysia (MyCC) dengan peruntukan RM10 juta.
-- BERNAMA