Belanjawan 2024: Jakoa pastikan Orang Asli nikmati infrastruktur, prasarana lebih baik

Bernama
Oktober 15, 2023 12:28 MYT
Infrastruktur terbabit merangkumi kemudahan ameniti sosial, program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta pembangunan di perkampungan Orang Asli. - Jakoa
GUA MUSANG: Peruntukan RM333 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tahun depan yang diumumkan semasa sesi pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lepas, akan digunakan untuk pelaksanaan, penyediaan infrastruktur dan prasarana bagi golongan itu.
Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor berkata ia merangkumi kemudahan ameniti sosial, program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta pembangunan di perkampungan Orang Asli.
"Bagaimanapun, kami masih belum dapat membuat perincian tentang pecahan peruntukan ini memandangkan ia baru sahaja diumumkan dua hari lepas.
"Secara keseluruhannya, Jakoa mendapat peruntukan yang tinggi, lebih besar berbanding tahun ini (RM305 juta) dan kita akan lihat aspek infrastruktur, pembangunan ameniti sosial seperti naik taraf dewan, jalan perhubungan desa dan bantuan ekonomi," katanya kepada pemberita di Bandar Utama di sini.
Sapiah berkata selain itu, bantuan daripada aspek pertanian dan masalah bekalan air juga berada dalam skop Jakoa.
Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata beliau percaya Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal membawa perubahan kepada komuniti berkenaan di daerah ini.
Bidi berkata majoriti masyarakat Orang Asli di pedalaman negeri ini masih bergelut dengan isu-isu kemudahan asas termasuk jalan perhubungan, air bersih, bekalan elektrik dan talian telekomunikasi yang dilihat ketinggalan berbanding kumpulan etnik sama di negeri lain.
"Saya berharap kerajaan akan menumpukan Orang Asli di pedalaman daerah ini yang belum lagi menikmati kemudahan seumpama itu, sedangkan kita berada pada tahun 2023, tetapi jurang kemudahan amat jauh berbanding penduduk kawasan bandar.
"Buat masa sekarang, kami menunggu kerja-kerja naik taraf jalan bersepadu melibatkan Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Hau dan Pos Simpor selesai dilaksanakan terutama ketika musim tengkujuh apabila terpaksa mengharungi jalan balak yang rosak," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #Jabatan Kemajuan Orang Asli #penyediaan infrastruktur dan prasarana #Sapiah Mohd Nor
;