Belanjawan 2024: Insentif penjawat awam, pesara bukti kerajaan cakna

Bernama
Oktober 14, 2023 19:15 MYT
Perdana Menteri semalam mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemberian sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 membantu meringankan perbelanjaan khususnya bagi persediaan sesi persekolahan yang bermula Mac tahun depan.
Beberapa penjawat awam bersetuju ia menunjukkan bahawa kerajaan cakna terhadap keperluan rakyat dalam mendepani masalah ekonomi dan berusaha mencari penyelesaian dalam membantu mereka.
Pensyarah Politeknik Nilai Syafawati Noorhafizah Adnan Adil, 38, tidak menyangka kerajaan akan memberikan insentif yang tinggi buat penjawat awam dalam belanjawan kali ini.
"Kebetulan tarikh sesi persekolahan dibuka tahun hadapan, Ramadan dan Hari Raya tidak jauh dan memang perlukan belanja yang banyak untuk buat segala persiapan...dengan keadaan ekonomi mencabar ketika ini, bagi saya, seorang ibu yang mempunyai empat anak bersekolah, kos diperlukan agak tinggi juga.
"Biasanya persiapan persekolahan untuk seorang anak seperti uniform sekolah, alat tulis, buku dan perkakas lain sekitar RM300 hingga RM400, itu belum lagi termasuk yuran sekolah dan sebagainya," katanya kepada Bernama hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bayaran insentif RM1,000 juga diberi kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam bagi anggota beruniform dan dipanjangkan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Sementara itu, pegawai di sebuah agensi kerajaan Siti Zulaika Hashim, 33, berkata jumlah insentif yang agak tinggi kali ini membuktikan bahawa kerajaan menyelami keperitan dilalui rakyat ketika ini.
"Saya agak risau juga apabila tengok sesi persekolahan tahun hadapan tidak jauh dengan Ramadan dan Hari Raya kerana kita tahu perbelanjaan juga akan meningkat berbanding sebelum ini.
"Jadi insentif yang diberikan memang tepat pada masanya dan saya akan gunakan bagi menampung belanja dua anak yang akan bersekolah," katanya.
Pesara kerajaan Maimun Shamsuddin, 73, pula berkata belum pernah lagi pesara menerima insentif pada kadar setinggi ini, sekali gus mencerminkan bahawa kerajaan benar-benar menghargai pesara kerajaan yang telah menabur bakti.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan telah bersara pada 2006, berkata bantuan itu memberi sedikit kelegaan khususnya buat pesara daripada golongan B40.
"Kita belum pernah lagi terima insentif sebanyak ini, kalau ada pun sebelum ini sekitar RM250 hingga RM300, jadi dari segi jumlahnya memang kita bersyukur sangat, Alhamdulillah.
"Kita tahu barang-barang hari ini banyak yang naik, banyak duit diperlukan untuk tampung hidup... macam saya anak-anak pun semua sudah besar dan tiada lagi keperluan untuk keluar belanja sekolah anak dan sebagainya jadi kita memang akan gunakan untuk beli barangan keperluan harian," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #penjawat awam #meringankan perbelanjaan #sesi persekolahan #Anwar Ibrahim
;