Belanjawan 2024: Cuepacs hargai insentif kerajaan, harap kajian SSPA dipercepat

Faida Rahim
Oktober 14, 2023 19:51 MYT
Adnan berpandangan, insentif ini jelas membuktikan kerajaan komited menjaga kebajikan warga perkhidmatan awam seperti yang sering dilaungkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini. - Gambar fail/Bernama
GAZA: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menghargai insentif kerajaan berhubung bayaran Insentif Awal Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah serta RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melalui Belanjawan 2024 yang dibentang Jumaat.
Presidennya, Datuk Adnan Mat memberitahu insentif ini jelas membuktikan kerajaan komited menjaga kebajikan warga perkhidmatan awam seperti yang sering dilaungkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini.
"Bagi kami ia adalah cukup memadai dan cukup signifikan kepada kami sebenarnya pada ketika kami telah lama tidak menikmati bayaran insentif yang begitu besar.
"Selepas 10 tahun kami hanya menikmati bantuan khas kewangan khas pada purata yang disebut RM500 dan kali terakhir kami menerima adalah RM700," katanya dalam program Buletin AWANI pada Sabtu.
Belanjawan 2024: Insentif penjawat awam sehingga RM2,000
Katanya lagi, pada masa sama Cuepacs turut menuntut komitmen kerajaan untuk mempercepatkan kajian SSPA supaya ia dapat dilaksanakan dengan segera pada tahun hadapan.
Jelas beliau lagi, SSPA baharu penting bagi memastikan gaji yang diterima oleh penjawat awam ketika ini sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.
"Walau bagaimanapun Cuepacs amat yakin kerajaan melalui JPA dan enam kluster utama yang telah dibuat survei yang diamanahkan kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian untuk dimuktamadkan apakah sistem saraan penjawat awam yang komprehensif yang sesuai untuk kami yang kami namakan sebagai pendapatan yang selesa, perbelanjaan yang adil.
"Kami nak pendapatan kami selesa untuk rumah, selesa untuk menyediakan perumahan untuk kami, makan minum, kenderaan, pendidikan, perubatan termasuk utiliti. Itu adalah harapan kami," katanya.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif itu termasuk untuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam.
#Anwar Ibrahim #Belanjawan 2024 #penjawat awam #cuepacs #Adnan Mat
;