Belanjawan 2024 bakal rancakkan ekonomi digital Malaysia - MDEC

Bernama
Oktober 17, 2023 04:00 MYT
Belanjawan 2024 bakal merancakkan ekonomi digital Malaysia dan melonjakkan negara ke sempadan digital baharu.
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 bakal merancakkan ekonomi digital Malaysia dan melonjakkan negara ke sempadan digital baharu, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menurut MDEC dalam kenyataan pada Selasa, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diumumkan baru-baru ini, Belanjawan 2024 memperkenalkan langkah-langkah komprehensif untuk menyokong syarikat pemula, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usahawan dalam usaha mendigitalkan perniagaan mereka.
"Ini termasuk meningkatkan usaha berterusan dengan pembiayaan peralatan, geran sepadan, sokongan pembiayaan, pembangunan keupayaan dan program bimbingan untuk memacu penggunaan digital.
"Penambahbaikan strategik ini turut melengkapkan rangka kerja sokongan NIMP 2030 yang menampilkan insentif cukai untuk syarikat pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi malah mekanisme pembiayaan untuk pelabur antarabangsa dalam sektor pembuatan serta elektrik dan elektronik akan melonjakkan peluang kerjaya dalam sektor ekonomi digital," katanya.
MDEC mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM165 juta bagi memperkukuh industri PMKS melalui inisiatif seperti geran digital, program Shop Malaysia Online untuk perniagaan dalam talian, di samping pemerkasaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Peruntukan ini juga sejajar dengan matlamat menyeluruh MDEC untuk meningkatkan daya saing melalui automasi dan pendigitalan serta memangkin pertumbuhan perniagaan," katanya.
Dalam pada itu, MDEC berkata peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi merintis penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu penanda aras ke arah memupuk bakat pembangunan AI dan penghasilan kandungan digital.
Katanya insentif peruntukan sebanyak RM30 juta pula, menjadi pemangkin kepada pembangun permainan global yang berpangkalan di Malaysia sekali gus dapat menggalakkan penciptaan harta intelek (IP) tempatan baharu.
"Tambahan sebanyak RM60 juta yang diperuntukkan untuk Dana Kandungan Digital khusus membantu mempromosikan IP tempatan agar dapat merangsang pertumbuhan industri kreatif untuk berkembang dengan lebih pesat," menurut MDEC.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #MDEC #ekonomi digital #NIMP 2030
;