Belanjawan 2023 utamakan pertumbuhan ekonomi saksama berpaksi keadilan sosial

Nickyson Nyambar
Februari 3, 2023 18:50 MYT
Langkah itu akan dilaksanakan meskipun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidak tentuan prospek ekonomi global. - Sumber foto PMO
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat menerusi Belanjawan 2023.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada Jumaat, Belanjawan kali ini akan turut merangkumi langkah-langkah untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakelola kerajaan.
Belanjawan itu juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar.
Kata jawatankuasa itu lagi, langkah itu akan dilaksanakan meskipun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidak tentuan prospek ekonomi global.
"Pada tahun 2022, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada KDNK dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15 peratus daripada hasil.
"Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023.
"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi," memetik kenyataan berkenaan.
Menurut FPC, Belanjawan 2023 akan mencerminkan kebertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.
"Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat. Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK terkawal," tambahnya.
#Belanjawan 2023 #KDNK #Jawatankuasa Dasar Fiskal #Prospek Ekonomi Global
;