Belanjawan 2023: PM Anwar beri bayangan jumlah peruntukan dikurangkan
Madiha Abdullah
Februari 8, 2023 18:27 MYT
Februari 8, 2023 18:27 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak boleh bertahan dengan defisit yang tinggi dan mesti berusaha untuk mengurangkan hutangnya.
Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan, memberi bayangan jumlah peruntukan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini akan dikurangkan namun ia tidak akan membebankan program pembangunan negara.
"Saya bentangkan strategi belanjawan dan angka awal kerana negara tidak boleh bertahan dengan defisit tinggi. Sejauh mana mampu kita mampu kurangkan dan pengurangan yang tidak bebankan program pembangunan kita.
“Saya menerima maklum balas tambahan daripada menteri (berkaitan isu itu),"katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, pada Rabu.
Menyentuh isu pekerja asing, beliau mahu pemantauan dilaksana oleh Kementerian Dalam Negeri supaya pendaftaran golongan itu dapat dilakukan tanpa menggunakan ejen yang akan melibatkan kos tinggi.
"Contohnya, bagi Nepal, kos hanya RM3,700 tetapi Bangladesh dan Indonesia masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000," katanya.
Perdana Menteri berkata perhatian akan diberikan kepada perkara itu dan kenaikan upah tidak menjadi masalah namun kenaikan bayaran untuk ejen merupakan satu perhambaan moden.