Belanjawan 2023: 'Khabar gembira, bajet memulih, memapankan pendidikan negara'
Fareez Azman
Februari 24, 2023 22:03 MYT
Februari 24, 2023 22:03 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai belanjawan yang memberi penekanan memulih dan memapankan pendidikan negara.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad, berkata peruntukan yang diumumkan itu memberi khabar gembira kepada semua warga pendidik.
"Seperti yang dijangkakan, pembentangan Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan telah memberikan penekanan kepada dua aspek utama iaitu ‘memulihkan’ dan ‘memapankan’ pendidikan negara.
"Butiran belanjawan untuk sektor pendidikan jelas merupakan satu khabar gembira kepada seluruh warga pendidikan khususnya guru-guru dan ibu bapa," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Anuar, perhatian kerajaan kepada isu kesesakan murid di sekolah juga amat tepat.
Malah katanya, pembinaan tujuh buah lagi sekolah baharu memberi gambaran tekad kerajaan dalam isu pendidikan.
Selain peruntukan penyediaan infrastruktur, kerajaan juga jelasnya dilihat serius dalam menangani isu keciciran pelajar.
"Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan tidak lagi menyediakan peruntukan untuk projek khas bersifat ‘tempelan’ seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Misalnya sistem pendidikan kita pernah mempunyai projek atau program khas seperti RIMUP, LINUS dan sebagainya yang diberikan peruntukan khas dalam peruntukan pendidikan.
"Sebaliknya, Belanjawan 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan lebih terfokus untuk pemulihan keciciran pembelajaran dengan menyelesaikan isu sekolah daif dengan segera," ujarnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM55.2 billion bagi Kementerian Pendidikan bagi tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM2.3 bilion melibatkan menaik taraf 380 buah sekolah daif serta pembinaan tujuh buah sekolah.