KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk memberikan elaun khas RM100 buat pasukan negara yang terlibat misi operasi mencari dan menyelamat (SAR)  buat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap pasukan negara yang telah banyak berkorban selain mempamerkan prestasi cemerlang.

“Baru-baru ini saya umumkan tentang kehebatan, pengorbanan SMART, NADMA, ATM, yang telah ke Turkiye sebagai contoh dan kita hadapi sedikit masalah untuk masuk ke Syria.

“Jadi kerana mengenang jasa mereka yang bekerja kita akan pastikan jumlah bantuan elaun khas RM100 setiap hari mereka bertugas.

“Ada yang bertugas selama dua minggu dan sebulan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Jumaat.

Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengadakan lawatan ke Turkiye bagi meninjau keadaan pasukan SAR negara yang bertugas.

Pasukan SAR negara yang terdiri daripada pelbagai agensi turut berjaya menemukan beberapa mayat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.