Belanjawan 2023: Elaun guru KAFA naik RM100

Astro Awani
Februari 24, 2023 19:54 MYT
Anwar berkata, bagi keseluruhan berkaitan hal ehwal Islam, sejumlah RM1.5 bilion telah diperuntukan dalam Belanjawan 2023. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM100, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, melalui peruntukan tambahan lebih RM40 juta itu, elaun bulanan membabitkan 35,000 guru KAFA naik kepada RM1,100.
Menurutnya, kerajaan juga memberikan sumbangan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir.
“Seramai 70,000 orang akan menerima sumbangan tersebut melibatkan peruntukan lebih RM40 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.
Sementara itu, katanya bagi keseluruhan berkaitan hal ehwal Islam, sejumlah RM1.5 bilion telah diperuntukan dalam Belanjawan 2023.
“Kita mahu institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.
“Pengurusan paling cekap harus dimulakan di sini, dan gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam,” katanya.
#Belanjawan 2023 #elaun guru kafa #kenaikan elaun #Anwar Ibrahim
;