Belanjawan 2023: Ekonomi bumiputera perlu reformasi - MTEM

Sinar Harian
Februari 24, 2023 11:50 MYT
Ahmad Yazid berkata, galakkan dalam bentuk dana atau pembebasan cukai untuk mengubah semula struktur ekonomi perlu diperkasakan agar setiap sektor tidak didominasi oleh satu kaum. - Fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap Belanjawan 2023 mampu memperkasakan semula ekonomi bumiputera.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, galakkan dalam bentuk dana atau pembebasan cukai untuk mengubah semula struktur ekonomi perlu diperkasakan agar setiap sektor tidak didominasi oleh satu kaum bagi memacu pertumbuhan dan inovasi.
“Perubahan semula struktur ekonomi dapat mengurangkan jang kekayaan dalam kalangan bumiputera dan bukan bumiputera di kalangan Sabah, Sarawak serta Semenanjung.
“Tindakan radikal perlu dilakukan agar meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera yang ingin melihat perubahan berdasarkan pola pemilihan mereka pada PRU lepas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, peruntukan besar kepada agensi yang memperjuangkan agenda bumiputera tidak mencukupi tetapi memerlukan kaedah baharu.
BACA: Anwar bentang Belanjawan 2023 Malaysia Madani jam 4 petang ini
Tambahnya, Belanjawan 2023 kali ini diharap mampu memberi kesan yang segera kepada komuniti bumiputera yang sudah jemu dengan slogan gagal dalam kejayaan yang diimpikan.
Dalam pada itu, Ahmad Yazid turut bercadang, Belanjawan 2023 dapat membantu ekonomi bumiputera dengan mengenal pasti pasaran atau peluang dalam sektor baharu yang berteknologi untuk membangunkan usahawan bumiputera berdaya saing.
“Tindakan ini penting supaya ekosistem perniagaan akan memastikan kemajuan dan peningkatan modal serta pembangunan kemampuan yang sebenarnya.
“Gejala Ali Baba perlu dihapuskan dan rasuah perlu dinyahkan agar ketirisan tidak berulang yang menjahanamkan agenda meningkat jurang kekayaan antara rakyat Malaysia,” jelasnya.
Jelasnya, walaupun belanjawan hanya merupakan peruntukan tahunan, ianya perlu seiring dengan sasaran-sasaran utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan matlamat yang jelas dan boleh diukur.
Beliau juga berharap Belanjawan 2023 ini sejajar dengan aspirasi Madani dan kerajaan tidak menjadikan pencapaian Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebagai sasaran utama atau mengunggulkan pelaburan asing atas kepentingan pelabur tempatan.
“Kerajaan perlu terus memperjuangkan dasar meningkatkan gaji pekerja sebagai cara utama meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya. -- Sinar Harian
#Belanjawan 2023 #ekonomi Bumiputera #MTEM #Anwar Ibrahim
;